Cekal Lawan Arus, Syarikat Bumiputera D’Amante, Coperatech Raih Kejayaan  

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad dan Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Krisis kewangan yang melanda negara-negara Asia pada 1997/1998 mungkin menjadi titik noktah bagi sesetengah perniagaan apabila ada syarikat yang terpaksa gulung tikar.

Namun, bagi seorang usahawan bumiputera, krisis yang melanda ketika itu sebaliknya membuka peluang keemasan kepada syarikatnya untuk mengembangkan lagi perniagaan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pengarah Urusan merangkap Pengasas D’Amante Malaysia Sdn Bhd, Mohammad Zulkifli Ghapal, 64, berkata ketidaktentuan nilai mata wang pada masa itu menyebabkan kos mendapatkan khidmat kepakaran dan teknologi dari luar negara semakin meningkat dan keadaan itu membuka ruang kepada syarikatnya untuk dipilih sebagai penyedia perkhidmatan dan teknologi bagi menyokong operasi lebuh raya PLUS Malaysia Bhd.

Antara teknologi dan produk yang disediakan D'Amante termasuklah sistem kamera litar tertutup (CCTV), telefon kecemasan tanpa wayar, papan tanda elektronik, sistem penunjuk kadar tol, lampu isyarat atas lebuh raya (OTL), Variable Message Sign (VMS) serta sistem pemantauan trafik di sepanjang rangkaian lebuh raya PLUS yang meliputi 1,130.5 kilometer.

Dalam temu bual bersama Bernama, Mohammad Zulkifli berkata beliau memulakan kerjaya sebagai jurutera dan terlibat dalam kerja reka bentuk pada 1987 dengan sebuah syarikat swasta sebelum mengambil keputusan memulakan perniagaan sendiri.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Perniagaan ini bermula pada 1998 apabila keadaan ekonomi tidak begitu baik. Saya mencuba kerana pada masa itu terdapat peluang memandangkan industri terlalu bergantung pada produk dari luar negara.

“Apabila berlaku kemelesetan, nilai mata wang jatuh dan pada masa yang sama, harga barangan meningkat,” katanya.

Beliau berkata PLUS merupakan antara bakal pelanggan syarikatnya ketika itu, sebelum D’Amante menjalin kerjasama dengan anak syarikat PLUS, iaitu TERAS Teknologi Sdn Bhd yang membangunkan sistem kutipan tol.

“Kami turut bekerjasama dengan mereka untuk membangunkan secara tempatan sistem penunjuk kadar tol yang direka bentuk sepenuhnya oleh rakyat Malaysia, daripada A hingga Z, termasuk papan litar bercetak (PCB), perisian, perisian tegar (firmware) dan integrasi sistem,” katanya.

Mohammad Zulkifli berkata kerjasama di antara D’Amante dan PLUS kekal utuh sehingga kini dan terus dipertingkatkan bagi menyokong pembangunan serta penambahbaikan teknologi pengurusan lebuh raya tempatan.

Sejak 1999, D’Amante berperanan sebagai rakan teknologi strategik kepada PLUS, anak syarikat UEM Group Bhd yang dimiliki sepenuhnya oleh Khazanah Nasional Bhd. Pada 2022, D’Amante dipilih menyertai Program Pembangunan Vendor Bumiputera (BVDP) PLUS.

Program itu merupakan antara usaha yang selari dengan matlamat GEAR-uP dan selaras dengan rangka PuTERA35 untuk memperkukuh keupayaan syarikat tempatan, bukan hanya melalui peluang perolehan, malah pembangunan kepakaran dan daya saing bagi membolehkan mereka mengendalikan projek bernilai lebih tinggi serta meneroka pasaran lebih luas.

Mohammad Zulkifli berkata penyertaan dalam BVDP PLUS memberi pendedahan kepada syarikat untuk memperkukuh kemahiran serta meningkatkan kecekapan pengurusan dan operasi.

“Program itu banyak membantu dari segi peningkatan kemahiran. Kursus dan pensijilan yang disertai membolehkan syarikat meningkatkan keupayaan kepada tahap lebih tinggi, selain menambah baik cara kerja sehingga berjaya memperoleh pensijilan ISO 9001:2015,” katanya.

Beliau berkata peningkatan keupayaan itu membolehkan D’Amante mengendalikan projek yang nilainya meningkat sehingga 60 kali ganda, selain menaik taraf kelayakan kontraktornya daripada G4 kepada G7.

“Peningkatan nilai projek dan kejayaan memperoleh pensijilan ISO 9001:2015 itu sememangnya melalui proses fasa pembangunan.

“Kalau saya seorang sahaja, tak mungkin dapat semua ini. Saya perlukan kakitangan yang berkaliber dan terlatih. Contohnya, kakitangan muda yang mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) banyak membantu dalam membangunkan tenaga kerja teknikal syarikat.

“Program BVDP pula membantu dari aspek pengurusan projek,” katanya.

Sehingga kini, D’Amante telah mengambil kira-kira 40 graduan TVET daripada institusi termasuk Politeknik Malaysia, Institut Kemahiran MARA (IKM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT).

Penyertaan dalam BVDP PLUS turut membantu D’Amante meningkatkan tenaga kerja daripada kurang 30 kepada kira-kira 90 orang berbanding hanya tiga pekerja pada peringkat awal penubuhannya, selain memperluas penglibatan dalam sektor lebuh raya, rel, pengangkutan dan aeroangkasa serta menubuhkan kemudahan operasi bersepadu di Semenyih.

Menerusi sokongan BVDP PLUS, D’Amante turut mendapat manfaat daripada geran Program Pembangunan Kapasiti dan Keupayaan Vendor (PPKV) serta geran Penyelidikan dan Pengkomersialan Vendor (GPPV), membantu memperkukuh keupayaan syarikat dalam teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), inovasi, pendigitalan dan amalan perniagaan mampan.

Pada 2024, menerusi kerjasama PLUS, Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), D’Amante menyertai program pemindahan teknologi dan akses pasaran di China yang memberi tumpuan kepada Kenderaan Generasi Akan Datang (NxGV).

Pendedahan tersebut meningkatkan kesediaan syarikat untuk menyumbang kepada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta ekosistem kenderaan elektrik (EV).

D’Amante turut mengamalkan Rangka Kerja Kecemerlangan Perniagaan Malaysia (MBEF) bagi memperkukuh pengurusan projek, meningkatkan keberkesanan operasi dan menambah baik tadbir urus organisasi.

Bagi tempoh lima tahun akan datang, Mohammad Zulkifli berkata D’Amante menyasarkan untuk meneroka pasaran yang lebih luas, mengembangkan aplikasi produk sedia ada serta meningkatkan nilai projek yang dikendalikan.

Beliau berkata teknologi sensor dan Internet Benda (IoT) yang dimiliki syarikat berpotensi digunakan dalam pelbagai sektor, termasuk untuk pemantauan sungai, laut dan bangunan manakala penggunaan kecerdasan buatan (AI) dirancang bagi menambah baik perkhidmatan serta pengurusan syarikat.

“Pada masa yang sama, kita mahu mengekalkan kakitangan sedia ada tetapi meningkatkan kemahiran mereka supaya memperoleh pengetahuan dan kemahiran baharu,” katanya.

Melangkah ke hadapan, D’Amante turut memberi tumpuan kepada pembangunan penyelesaian berasaskan AI, teknologi hijau dan infrastruktur mampan, termasuk kesiapsiagaan EV.

Kisah kecekalan D'Amante menentang arus ketika mengharungi tempoh sukar untuk sektor perniagaan dan menjadikan cabaran tersebut sebagai kekuatan, tidak jauh berbeza daripada kegigihan sebuah lagi syarikat kejuruteraan tempatan, Coperatech Resources Sdn Bhd, yang menyediakan kerja-kerja pembinaan, fabrikasi logam, pemasangan mesin dan penyelenggaraan kepada perkhidmatan kejuruteraan yang lebih luas.

Coperatech yang bermula dengan projek pembinaan bernilai RM70,000 pada 2016 kini diberi kepercayaan mengendalikan projek bernilai jutaan ringgit selepas membina pengalaman menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan termasuk nama besar seperti Inokom Corporation Sdn Bhd dan Sime Motors.

Pengarahnya, Alif Ikhwan Jamaludin berkata syarikat bermula sebagai syarikat kecil namun kepercayaan yang diberi oleh syarikat ternama seperti Inokom menjadi titik permulaan kepada Coperatech untuk mengembangkan perniagaannya.

“Coperatech bermula dengan projek pemasangan mesin mekanikal untuk sebuah jenama antarabangsa bernilai kira-kira RM480,000. Melalui projek itu, kami bukan sahaja membina pengalaman, malah mula memperoleh kepercayaan pelanggan sehingga diberi peluang menguruskan projek pembesaran pejabat Inokom yang bernilai kira-kira RM980,000.

“Pengalaman mengendalikan setiap projek ini menjadi asas dan persediaan untuk kami memikul tanggungjawab yang lebih besar. Kemuncaknya, syarikat berjaya memperoleh projek bernilai RM2.53 juta, yang merupakan pencapaian terbesar Coperatech setakat ini,” katanya dalam temu bual berasingan dengan Bernama.

Beliau berkata antara cabaran terbesar pada peringkat awal ialah mendapatkan peluang dan kepercayaan pelanggan, selain memastikan kualiti kerja sentiasa konsisten.

“Sokongan dan kepercayaan Inokom serta Sime Motors membuka ruang untuk Coperatech mengukuhkan portfolio dan terlibat dalam projek yang lebih besar, termasuk melibatkan jenama antarabangsa,” katanya.

Melalui peluang tersebut, katanya syarikat bumiputera itu menambah pengalaman dan mempelajari cara menguruskan projek yang lebih besar serta menangani cabaran yang dihadapi, namun apabila nilai projek meningkat, keperluan modal dan tenaga kerja turut bertambah.

Alif Ikhwan berkata bagi projek bilik pembersihan jig, Coperatech mendapatkan pembiayaan tambahan untuk menampung keperluan modal kerja dan menambah tenaga kerja supaya projek dapat disiapkan mengikut jadual pelanggan dan mengekalkan kualiti.

“Selepas projek itu, kami mula menerima jemputan daripada syarikat antarabangsa lain untuk berbincang tentang keperluan projek dan mengemukakan sebut harga.

“Rekod kerja bersama Inokom bukan sahaja meningkatkan keyakinan pembekal dan penyedia pembiayaan untuk memberikan kredit atau pembiayaan kepada syarikat, malah membuka peluang kepada Coperatech memperoleh projek daripada pelanggan lain, termasuk OEM Autoseats Malaysia dan Yanfeng Malaysia Automotive Interior Systems Sdn Bhd,” ujarnya.

Katanya pertambahan projek turut membolehkan Coperatech meningkatkan jumlah pekerjanya daripada 14 kepada 25 orang, selain membuka peluang kepada syarikat kecil dan pembekal lain.

Beliau berkata syarikat juga menawarkan peluang latihan industri kepada golongan muda untuk menimba pengalaman dalam bidang kerja yang diceburi.

Mengenai prospek perniagaan, Alif Ikhwan berkata Coperatech mempunyai beberapa projek yang sedang dilaksanakan dengan nilai keseluruhan kira-kira RM1.5 juta setakat Oktober, dijangka mengambil tempoh tiga hingga empat bulan lagi untuk disiapkan.

Katanya sehingga kini, pendapatan vendor bumiputera berkenaan meningkat hampir lima kali ganda daripada RM890,000 pada 2016 kepada RM4.41 juta pada 2025, dengan syarikat menyasarkan pendapatan mencecah RM5 juta pada 2027.

-- BERNAMA