ECRL Buka Dimensi Baharu Pengangkutan Rel Negara, Bawa Limpahan Manfaat Ke Pantai Timur
Oleh Sharifah Hunaini Syed Ismail
KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Pembukaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal membawa kelegaan besar buat penduduk di wilayah berkenaan memandangkan perkhidmatan rel moden ini mampu memendekkan tempoh perjalanan antara Kelantan, Terengganu, dan Pahang menuju ke Lembah Klang berbanding kaedah pengangkutan darat sedia ada.
Meskipun projek ini menelan kos pembinaan mencecah puluhan bilion ringgit, namun keutamaan kerajaan tetap berpaksi kepada kesejahteraan rakyat menerusi penetapan kadar tambang yang kompetitif, dengan kelas ekonomi dari Gombak ke Kota Bharu bermula serendah RM125 sehala.
Jika perjalanan darat dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu lazimnya memakan masa antara tujuh hingga lapan jam malah boleh mencecah sehingga 20 jam akibat kesesakan luar biasa pada musim perayaan dan cuti persekolahan, kehadiran ECRL kini mampu memendekkan tempoh perjalanan tersebut kepada hanya empat jam sahaja.
Maka segala penat lelah menempuh perjalanan darat yang jauh dan memenatkan terutamanya setiap kali musim perayaan akhirnya kini terlerai.
Kehadiran ECRL bukan sahaja membuka lembaran baharu yang lebih menyenangkan buat penduduk Pantai Timur, malah menawarkan alternatif pengangkutan yang jauh lebih efisien, selesa, dan praktikal.
ECRL ALTERNATIF KURANGKAN KESESAKAN JALAN DARAT
Sebagai anak Kelantan yang berasal dari Pasir Mas, prospek perjalanan balik kampung dari Gombak ke Kota Baharu yang hanya memakan masa empat jam, dan tempoh sama untuk perjalanan dari Kota Baharu menuju ke Gombak menggunakan ECRL sangat dinanti-nantikan umpama ‘kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan’.
Jajaran rel sepanjang 665 kilometer menghubungkan Pantai Timur dan Lembah Klang (Selangor) yang dijadualkan mula beroperasi pada 12 Disember itu mampu mengurangkan tekanan untuk memandu bagi jarak jauh yang sering kali terpaksa menempuh kesesakan trafik, sekali gus menawarkan keselesaan buat seisi keluarga.
Ini kerana saban tahun, perjalanan balik ke kampung halaman di Pantai Timur terutamanya ketika musim perayaan merupakan pengalaman yang amat mencabar dan mengazabkan susulan peningkatan jumlah kenderaan yang berlipat kali ganda daripada biasa.
Untuk rekod, sebanyak dua juta kenderaan direkodkan masuk ke Kelantan sempena sambutan Aidilfitri Mac lepas manakala pada musim cuti persekolahan hampir satu juta kenderaan memasuki negeri Cik Siti Wan Kembang itu menggunakan laluan Kuala Krai-Gua Musang, Jeli-Gerik, serta Pasir Puteh-Kuala Terengganu.
Pengalaman peribadi pernah terkandas sehingga 16 jam dalam kesesakan trafik bermula dari Karak sehingga ke Kuala Krai mendorong penulis melihat ECRL ini sebagai alternatif yang sangat ditunggu-tunggu oleh kami sekeluarga.
Laluan ini juga bakal membuka dimensi baharu terhadap landskap pengangkutan rel negara serta kesalinghubungan darat.
MASA PERJALANAN LEBIH SINGKAT
Ketua pegawai eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak yang ditemui Bernama baru-baru ini berkata ujian tren Comprehensive Inspection Train (C.I.T.) ECRL yang dilaksanakan berjaya melengkapkan perjalanan tanpa henti sejauh 519 kilometer dari Gombak ke Kota Bharu dalam tempoh 3 jam 19 minit, pada kelajuan sehingga 160 km/j.
Beliau berkata justifikasi kadar tambang mengambil kira keseimbangan antara kemampuan rakyat dan nilai perkhidmatan yang ditawarkan serta kemampanan operasi jangka Panjang ECRL yang menelan kos RM50.27 bilion merangkumi jajaran sepanjang 655 kilometer dan melibatkan 20 stesen di Kelantan, Terengganu, Pahang, serta Selangor.
Pada masa ini di Kelantan terdapat dua stesen iaitu Stesen Pasir Puteh dan Stesen Kota Bharu Tunjong namun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan memanjangkan jajaran ECRL sehingga ke Rantau Panjang.
Mengulas pelanjutan jajaran itu, Darwis berkata penyambungan jajaran dari Kota Bharu ke Rantau Panjang adalah sejauh kira-kira 30 kilometer dan dijangka menggunakan semula laluan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) sepanjang kira-kira 18 km dari Pasir Mas ke Rantau Panjang yang tidak lagi beroperasi sejak 2005.
“Projek ini akan membantu melancarkan pergerakan kargo dari selatan Thailand ke Malaysia, sekali gus membuka ruang untuk kita meneroka potensi penyambungan jajaran tersebut,” katanya.
PROSPEK PEMBANGUNAN JANGKA PANJANG WILAYAH PANTAI TIMUR
Pada 3 Nov, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan lebih RM250 juta bagi memperkukuh pembangunan ECRL di Kelantan yang merangkumi RM30 juta bagi pembinaan terminal bas baharu di Stesen ECRL Kota Bharu dan lebih RM200 juta lagi bagi kerja awalan untuk cadangan penyambungan jajaran dari Kota Bharu ke Rantau Panjang.
Menurut MoF, pelaburan itu bukan sahaja bertujuan memperkukuh infrastruktur pengangkutan malah membuka peluang kepada pembangunan ekonomi Kelantan yang lebih berdaya saing.
Pembangunan berkenaan dijangka merancakkan aktiviti perniagaan, memperkukuh sektor logistik, menarik pelaburan serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Perkembangan terkini itu menjadi berita baik yang menggembirakan bagi penduduk Pantai Timur khususnya rakyat Kelantan yang bakal menerima limpahan pembangunan yang memberi manfaat.
TINGKAT SINERGI MENERUSI RANGKAIAN REL PAN-ASIA
Perancangan pembangunan jangka panjang itu boleh dilihat menerusi kenyataan Menteri Pengangkutan pada masa itu Anthony Loke yang menjelaskan projek berkenaan berpotensi menghubungkan rangkaian rel Malaysia dengan jaringan rel Thailand, sekali gus mewujudkan sinergi lebih besar dalam rangkaian rel Pan-Asia.
Jalinan rangkaian rel itu dijangka memperkukuh hubungan pengangkutan merentasi Malaysia, Thailand, Laos, China dan Asia Tengah.
Pada masa sama, jaringan rel yang dihubungkan dengan pelabuhan sebagaimana dirancang, akan membentuk koridor darat-laut dan integrasi tersebut berpotensi mewujudkan rangkaian pengangkutan yang lebih menyeluruh bagi Malaysia dan rantau ini, selain meningkatkan nilai ekonomi serta kepentingan strategik dan keselamatan negara.
Sebagai anak Pantai Timur, perkara yang turut menarik perhatian penulis tentang ECRL bukan sekadar perubahan infrastruktur pengangkutan, malah ia berpotensi menjadi pemangkin transformasi ekonomi negeri-negeri di wilayah ini menerusi peningkatan kesalinghubungan, peluasan jaringan perdagangan, kemasukan pelaburan serta pembukaan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Projek ini membawa harapan untuk mengubah landskap ekonomi Kelantan, Terengganu dan Pahang, dengan menawarkan hubungan lebih cekap antara Pantai Timur dan Lembah Klang.
Jika sebelum ini, mobiliti penduduk yang berulang-alik atas urusan pekerjaan, pendidikan, perniagaan dan kekeluargaan lebih tertumpu kepada jalan darat sama ada kenderaan sendiri, perkhidmatan bas ekspres atau menggunakan penerbangan bagi yang ingin memendekkan masa, kini dengan adanya ECRL, terdapat satu lagi pilihan yang praktikal iaitu laluan rel.
Kemudahan pengangkutan yang lebih cekap bukan sahaja penting untuk pergerakan penumpang, malah boleh meningkatkan keupayaan logistik dan pengangkutan barangan, sekali gus membantu sektor perniagaan mengurus kos serta memperluas capaian pasaran.
E- LOCO BANTU RANCAKKAN PEMBANGUNAN
Darwis berkata ECRL bukan sahaja memberi penekanan terhadap perkhidmatan penumpang, malah turut memberi keutamaan kepada peranan ekonominya menerusi pengangkutan kargo.
Perkhidmatan tren yang menghubungkan Pantai Timur dengan Lembah Klang dan seterusnya Pelabuhan Klang itu akan menyediakan koridor logistik alternatif bagi perniagaan yang mengangkut barangan antara pusat pengeluaran, kawasan perindustrian dan pasaran antarabangsa.
Antara industri yang bakal meraih manfaat besar ialah yang melibatkan kargo berkontena, pembuatan, petrokimia, mineral dan hasil pertanian.
Ketua pegawai eksekutif ECRL Operation Sdn Bhd Zaidi Sharif semasa taklimat kepada para editor media tempatan menjelaskan perkhidmatan kargo Electric Locomotive (E-Loco) menerima permintaan menggalakkan daripada syarikat besar yang mahu mengurangkan kos pengangkutan selain meminimumkan jejak karbon.
Beliau berkata pengoperasian E-Loco tidak mempunyai jadual perjalanan sebaliknya berdasarkan permintaan syarikat yang memerlukan perkhidmatan kargo yang akan beroperasi pada waktu malam.
Bernama sebelum ini melaporkan kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah di Dewan Negara pada 22 Julai lepas tentang keupayaan tren kargo ECRL yang boleh menarik sehingga 45 gerabak dan mampu membawa muatan seberat 3,150 tan dalam satu-satu masa.
Hasbi berkata kapasiti besar itu jauh melangkaui keupayaan sebuah lori yang secara purata hanya mampu membawa muatan maksimum 40 tan bagi setiap perjalanan.
Perkhidmatan kargo ECRL berpotensi menggantikan 79 lori bagi setiap perjalanan tren, justeru, secara tidak langsung boleh membantu mengurangkan kesesakan jalan raya dan risiko kemalangan melibatkan kenderaan berat.
TARIK MINAT PEMAIN INDUSTRI UTAMA
Perkhidmatan ECRL juga berjaya menarik minat pemain industri utama negara seperti Petronas dan syarikat pengeluar kereta nasional, Perodua, yang ingin mengurangkan jejak karbon mereka dengan penggunaan perkhidmatan rel.
Perodua, pada Jun 2024, memeterai memorandum persefahaman bersama MR untuk menggunakan khidmat ECRL bagi mengangkut kenderaan siap serta komponen automotif dari kilang mereka di Serendah ke Pantai Timur.
Selain itu, MRL turut menjalin kerjasama dengan Pelabuhan Kuantan bagi memperkukuh rangkaian pengangkutan kargo rel antara pelabuhan Pantai Timur dan Pantai Barat.
Dalam usaha meluaskan limpahan ekonomi, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bersama agensi berkaitan juga giat mempromosikan Projek Pemecut Ekonomi (EAP) di sepanjang koridor ECRL untuk menarik pelaburan baharu ke kawasan perindustrian, hab logistik dan bandar di sekitar stesen.
Pada Julai lepas, Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata pembangunan 21 Projek Pemecut Ekonomi di sepanjang jajaran ECRL diunjurkan mampu menyumbang nilai tambah terkumpul antara RM80 bilion hingga RM90 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2047.
Aset landasan ECRL ini dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia menerusi MRL yang berada di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, manakala urusan operasi serta penyelenggaraannya dijalankan menerusi syarikat usaha sama dengan pegangan 50:50 antara MRL dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd.
SOKONGAN DAN PENYERTAAN AKTIF KERAJAAN NEGERI, KOMUNITI TEMPATAN
Meskipun ECRL menawarkan prospek pembangunan yang besar, kejayaan projek itu sebagai pemangkin ekonomi wilayah Pantai Timur tidak hanya bergantung pada infrastruktur rel, sebaliknya, memerlukan penyelarasan dasar, pembangunan kawasan sekitar stesen, kemudahan pengangkutan pengantara, promosi pelaburan serta penyertaan aktif sektor swasta dan komuniti perniagaan tempatan.
Kerajaan negeri juga perlu memastikan perusahaan tempatan bersedia merebut peluang yang muncul, termasuk melalui peningkatan kemahiran, penggunaan teknologi dan pengukuhan kapasiti perniagaan.
Lebih penting, pembangunan yang terhasil perlu bersifat inklusif agar manfaatnya tidak hanya tertumpu di kawasan berhampiran stesen, tetapi turut dirasai masyarakat di daerah lain.
ECRL perlu dilihat bukan sekadar sebagai landasan yang menghubungkan negeri di Pantai Timur, tetapi sebagai jambatan kepada peluang ekonomi, mobiliti sosial dan pembangunan wilayah yang lebih seimbang.
-- BERNAMA