BERITA TERKINI   SST kekal sebagai asas percukaian, namun kerajaan tidak menolak pindaan sekiranya terdapat elemen cukai berganda - PM Anwar | Defisit negara terus diunjur susut kepada 3.6 peratus pada 2026, 3.3 peratus pada 2027 dan capai sasaran 3.0 peratus pada 2028 - PM Anwar | Keputusan tidak perkenalkan semula GST bagi lindungi rakyat berpendapatan rendah daripada beban cukai - PM | Kerajaan tidak akan perkenalkan semula GST kerana hasil kutipan SST setanding dengan kutipan GST - PM Anwar | Kerajaan terbuka tambah baik SST termasuk tangani isu cukai berganda, namun tetap tolak GST kerana bebankan rakyat - PM | 

EECA 2024 Kritikal Susulan Pengembangan Dalam Industri Dan Permintaan Tenaga - ST

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Akta Kecekapan dan Konservarsi Tenaga (EECA) 2024 adalah amat kritikal dalam mengurus permintaan elektrik pada masa hadapan kerana ia membolehkan negara merancang kapasiti penjanaan sambil memastikan keselamatan serta kemampuan tenaganya.

Pengarah Bahagian Dasar Teknikal dan Peraturan Suruhanjaya Tenaga (ST), Zulkiflee Umar berkata meningkatkan kecekapan tenaga menjadi semakin penting di tengah-tengah peningkatan penggunaan elektrik berikutan kepesatan industri intensif tenaga seperti pusat data.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bangunan, yang juga menyumbang sebahagian besar penggunaan elektrik, kini dilindungi di bawah rangka kerja kawal selia Akta tersebut untuk memastikan penggunaan tenaga yang lebih cekap.

“Kita ada penjanaan (tenaga), kita ada transmisi (kuasa), kita ada penggunaan (tenaga). Jadi untuk bahagian penjanaan, kita ada pelbagai cara dalam menjana tenaga bersih, solar dan sebagainya.

“Tetapi kita juga perlu menguruskan permintaan kita,” katanya kepada Bernama semasa Persidangan Kesedaran Kebangsaan mengenai EECA 2024 di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Jika permintaan tenaga tidak diurus dengan betul, kemudahan penjanaan elektrik baharu perlu dibina setiap dua hingga tiga tahun, ini amat tidak praktikal memandangkan masa yang diperlukan bagi membangunkan kemudahan berkenaan.

Memetik loji janakuasa haba sebagai contoh, Zulkiflee berkata ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya lima tahun untuk menyiapkan pembinaannya.

Menguruskan penggunaan tenaga secara cekap akan membolehkan permintaan elektrik kekal terurus, membolehkan kapasiti penjanaan dirancang dengan cara yang akan menjamin keselamatan tenaga dan kemampuan mampu milik, tambah beliau.

Menurut pembentangan ST, sebanyak 562 notis telah dikeluarkan kepada pengguna tenaga terkawal setakat 1 Nov 2026.

 

KEPERLUAN KECEKAPAN TENAGA UNTUK BANGUNAN

Zulkiflee berkata Akta itu juga memperkenalkan keperluan kecekapan tenaga untuk bangunan. 

“Kita menyedari bahawa wujud keperluan untuk mengawal selia bangunan, memandangkan bilangannya yang ketara dan jumlah tenaga yang mereka gunakan,” jelasnya.

Di bawah EECA 2024, keperluan kecekapan tenaga pada masa ini digunakan untuk bangunan pejabat dengan liputan dijangka diperluaskan kepada bangunan komersial dan bukan domestik seperti kompleks membeli-belah, hospital, hotel termasuk pusat data, ini akan dirangkumkan dalam fasa pelaksanaan berikutnya.  

Akta itu, yang berkuat kuasa pada 1 Jan 2025, adalah lanjutan daripada Peraturan Pengurusan Tenaga Elektrik 2008, dengan keperluan tambahan seperti sistem pengurusan tenaga mandatori dan audit tenaga pada setiap lima tahun.

“Ambang sedia ada telah ditukar daripada kilowatt-jam kepada gigajoule memandangkan kini ia meliputi semua tenaga. Kita tidak menggunakan kilowatt-jam lagi,” katanya.

 

PENGUATKUASAAN DAN PEMBANGUNAN INDUSTRI

Mengenai pelaksanaan EECA 2024, Zulkiflee menjelaskan ST akan memperkukuhkan lagi program penguatkuasaan dan kesedaran untuk menggalakkan pengguna tenaga terkawal mematuhi Akta tersebut.

“Kita akan melaksanakan penguatkuasaan ke atas perkara ini memandangkan ada tempoh tiga bulan diberikan di bawah EECA untuk melantik pengurus tenaga berdaftar.

“Ia akan mengambil masa kira-kira lima hingga enam tahun untuk pelaksanaannya benar-benar matang. Jadi kita perlu mempercepatkan penguatkuasaan dan mewujudkan lebih banyak kesedaran seperti yang kita buat sekarang ini,” katanya.

Zulkiflee berkata tindakan punitif boleh diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi tarikh akhir tiga bulan yang diberikan untuk melantik pengurus tenaga.

Sementara itu, ST telah menggariskan pelan pembangunan kecekapan tenaga industri lima tahun untuk 2026 hingga 2030, yang merangkumi pembangunan alat dan metodologi penanda aras, perundingan pihak berkepentingan selain kajian penandaarasan bagi sektor industri tertentu.

Pelan ini dijangka memuncak dalam fasa pertama penanda aras kecekapan tenaga sukarela menjelang 2030.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif ST, Roslee Esman berkata penekanan terhadap kecekapan tenaga bukan sekadar mengurangkan penggunaannya tetapi memahami cara tenaga digunakan, mengenal pasti peluang untuk penambahbaikan dan memastikan peningkatan ini dapat diukur serta dikekalkan.

“Pengembangan industri, pendigitalan ekonomi dan pertumbuhan kemudahan intensif tenaga, termasuk pusat data, menyumbang kepada lonjakan permintaan tenaga dari tahun ke tahun.

“Memenuhi permintaan ini bukan sahaja memerlukan bekalan tenaga yang boleh dipercayai tetapi juga kecekapan penggunaan tenaga tersedia untuk kita,” katanya dalam ucaptamanya terdahulu.

Mulai November 2026, satu siri Persidangan Kesedaran Kebangsaan mengenai EECA 2024 akan diadakan di lima zon di Malaysia yang akan melibatkan pihak berkepentingan agar pemahaman mereka tentang Akta dan keperluannya dapat diperkukuhkan.

-- BERNAMA