BERITA TERKINI   SST kekal sebagai asas percukaian, namun kerajaan tidak menolak pindaan sekiranya terdapat elemen cukai berganda - PM Anwar | Defisit negara terus diunjur susut kepada 3.6 peratus pada 2026, 3.3 peratus pada 2027 dan capai sasaran 3.0 peratus pada 2028 - PM Anwar | Keputusan tidak perkenalkan semula GSTĀ bagi lindungi rakyat berpendapatan rendah daripada beban cukai - PM | Kerajaan tidak akan perkenalkan semula GST kerana hasil kutipan SST setanding dengan kutipan GST - PM Anwar | Kerajaan terbuka tambah baik SST termasuk tangani isu cukai berganda, namun tetap tolak GST kerana bebankan rakyat - PM | 

Bursa Malaysia Rendah Pada Dagangan Awal Walaupun Wall Street Catat Kenaikan

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Khamis berikutan sentimen pelabur yang terus berhati-hati walaupun terdapat kenaikan di Wall Street semalaman.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menurun 3.16 mata kepada 1,592.03 daripada 1,595.19 semasa ditutup pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 3.61 mata kepada 1,591.58.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pasaran secara menyeluruh negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 216 berbanding 109 manakala 255 kaunter tidak berubah, 2,194 kekal tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 253.49 juta unit bernilai RM83.18 juta.

Mengulas prestasi bursa hari ini, Apex Securities Bhd memaklumkan FBM KLCI kekal dalam trend menurun selepas susut di bawah paras psikologi 1,600 mata, dengan pemulihan yang dicatatkan baru-baru ini gagal menjana momentum kenaikan yang berterusan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Firma itu menjangkakan indeks petunjuk pasaran berkenaan kekal di bawah tekanan dalam tempoh terdekat memandangkan kebimbangan berterusan terhadap kadar faedah global dan inflasi Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi daripada jangkaan.

Ia sekali gus mendorong jangkaan bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin menaikkan kadar faedah pada Disember, yang berpotensi menjejaskan aliran dana asing ke pasaran sedang pesat membangun.

“Pelabur juga akan memantau Indeks Harga Pengeluar (PPI) AS yang akan datang, iaitu petunjuk inflasi utama terakhir sebelum mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Fed pada Disember,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Di peringkat domestik, Apex Securities memaklumkan pelabur dijangka mengambil pendekatan lebih selektif menjelang musim pengumuman keputusan kewangan suku ketiga 2026, dengan keputusan korporat dan hala tuju daripada pihak pengurusan syarikat dijangka mempengaruhi pergerakan saham-saham tertentu.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November juga boleh menambah ketidaktentuan pasaran dalam tempoh terdekat, tambahnya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, CIMB susut tiga sen kepada RM7.05, Tenaga Nasional turun enam sen kepada RM12.90 dan IHH Healthcare berkurangan satu sen kepada RM7.72. Maybank tidak berubah pada RM9.95, manakala Public Bank menokok dua sen kepada RM4.55.

Dalam dagangan aktif, Iconic Worldwide dan MMAG Holdings masing-masing meningkat setengah sen kepada 12.5 sen dan 4.5 sen. Kinergy Advancement dan Avangaad masing-masing tidak berubah pada 37.5 sen dan 29.6 sen, manakala GIIB Holdings susut satu sen kepada 14.5 sen.

Dalam kalangan saham paling untung, United Plantations meningkat 78 sen kepada RM31.02, Sarawak Plantation menokok 15 sen kepada RM4.08, SD Guthrie naik 13 sen kepada RM6.12, Keck Seng menambah tujuh sen kepada RM4.75 dan Bursa Malaysia meningkat lima sen kepada RM8.24.

Petronas Dagangan mendahului saham paling rugi apabila susut 30 sen kepada RM19.22. Westports Holdings turun sembilan sen kepada RM7.33, Vitrox Corp merosot 11 sen kepada RM9.95, MN Holdings susut 10 sen kepada RM3.88 dan Critical Holdings berkurangan lapan sen kepada RM2.31.

Dalam pasaran lebih luas, Indeks FBM Emas susut 26.24 mata kepada 11,851.54, manakala Indeks FBM Top 100 merosot 25.11 mata kepada 11,674.23.

Indeks FBM Emas Shariah turun 42.31 mata kepada 11,829.14, Indeks FBM ACE berkurangan 14.86 mata kepada 5,291.64 dan Indeks FBM Mid 70 susut 44.98 mata kepada 17,072.88.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 7.24 mata kepada 18,483.97, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan turun sedikit sebanyak 0.91 mata kepada 171.53 dan Indeks Tenaga berkurangan 2.60 mata kepada 786.41. Sebaliknya, Indeks Perladangan meningkat 77.06 mata kepada 8,804.99.

-- BERNAMA