Malaysia Perlu Perkukuh Standard Keselamatan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri - Fadillah
KLANG, 12 Nov (Bernama) -- Malaysia perlu memperkukuh standard keselamatan dan pensijilan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) bagi memastikan teknologi berkenaan dapat dimanfaatkan secara selamat dan mampan, selari dengan usaha negara mempercepat peralihan kepada tenaga boleh baharu (TBB).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata aspek keselamatan perlu menjadi keutamaan dalam pembangunan teknologi penyimpanan tenaga itu memandangkan kegagalan sistem berkenaan berpotensi mengakibatkan risiko seperti kejadian haba tidak terkawal (thermal runaway) dan kebakaran.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata setiap pemasangan BESS perlu mematuhi piawaian keselamatan, kualiti dan prestasi yang tinggi, selain memenuhi keperluan teknikal serta amalan terbaik antarabangsa.
“Tidak memadai jika kita mempunyai teknologi, tetapi kita juga perlu memastikan teknologi yang masuk ke negara ini selamat…jadi apa yang dilaksanakan ini adalah satu sistem yang memantau dari segi keselamatan dan membangunkan standard untuk memastikan bateri yang dipasang itu memenuhi syarat, standard yang ditetapkan.
“Sebab itulah pembangunan sijil ini amat penting, bukan sahaja untuk melindungi pengguna, tapi pada masa yang sama mengelakkan daripada berlakunya letupan, kebakaran dan juga boleh menyebabkan bahaya kepada pengguna dan orang ramai,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Perintis Pensijilan BESS oleh BESSC Sdn Bhd di Kapar, hari ini.
Beliau berkata walaupun skim pensijilan berkenaan bersifat sukarela, tetapi beliau menggalakkan syarikat yang ingin memasang sistem penyimpanan bateri supaya mendapatkan panduan dan memanfaatkan standard yang dibangunkan bagi memastikan keselamatan serta pulangan terhadap pelaburan oleh industri.
Sehubungan itu, beliau berharap semua kementerian dan agensi berkaitan, termasuk Jabatan Standard Malaysia (JSM) dan Suruhanjaya Tenaga (ST), dapat bekerjasama dalam membangunkan standard yang bukan sahaja sesuai untuk kegunaan negara, malah berpotensi dijadikan panduan di peringkat serantau dan antarabangsa.
Dalam pada itu, Fadillah berkata Malaysia kini mempunyai kapasiti terpasang TBB hampir 14 gigawatt (GW), bersamaan hampir 32 peratus daripada kapasiti TBB negara, dengan tenaga solar menjadi antara penyumbang utama pertumbuhan sektor itu.
Beliau berkata kerajaan juga menyasarkan 35 peratus kapasiti penjanaan tenaga daripada sumber boleh baharu menjelang 2030, meningkat kepada 70 peratus menjelang 2050, selaras dengan usaha memperkukuh keselamatan tenaga, mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan mencapai pelepasan karbon sifar bersih seawal 2050.
Bagaimanapun, peningkatan penggunaan tenaga solar turut membawa cabaran kepada kestabilan grid elektrik kerana sumber tenaga itu bersifat tidak menentu dan bergantung kepada keadaan cuaca, sekali gus memerlukan sistem yang mampu mengimbangi turun naik bekalan elektrik.
Justeru beliau berkata BESS berperanan menyimpan lebihan tenaga solar yang dijana pada waktu siang untuk digunakan pada waktu malam, selain membantu menstabilkan grid dengan mengawal kadar tenaga yang disalurkan ke dalam sistem.
Menurutnya, perkembangan industri BESS juga membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk bukan sahaja terlibat dalam pemasangan sistem berkenaan, malah menceburi bidang pembuatan bateri.
Antara langkah kerajaan memperluas penggunaan teknologi itu adalah melalui tender MyBEST yang melibatkan kapasiti kuasa bateri 400 megawatt (MW) dengan kapasiti tenaga 1,600 megawatt-jam (MWh), manakala Program Solar Berskala Besar Pusingan Keenam (LSS6) turut mewajibkan komponen bateri bagi projek berkaitan, dengan kapasiti kuasa 1,250 MW dan kapasiti tenaga 5,000 MWh.
-- BERNAMA