BERITA TERKINI   Tragedi kepala air: Satu lagi mayat ditemukan di sekitar kawasan Empangan Sungai Selangor pada 10.15 pagi tadi - Bomba | Eksport Malaysia ke Taiwan melonjak 88.0 peratus kepada RM116.58 bilion, import dari Taiwan meningkat 24.2 peratus kepada RM137.63 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026 - PM Anwar | Perdagangan dua hala Malaysia-Taiwan berkembang 47.1 peratus tahun ke tahun kepada RM254.21 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026 - PM Anwar | Sebanyak 1,737 projek pembuatan dengan penyertaan Taiwan telah dilaksanakan, merangkumi pelaburan bernilai RM34.3 bilion - PM Anwar | Tiada petunjuk pelabur Taiwan tarik diri atau sekat pelaburan baharu di Malaysia - Anwar | 

Semak Kasih: Manfaat Insurans Hayat, Takaful Bernilai RM55 Juta Dibayar Setakat 16 Oktober - LIAM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Syarikat insurans hayat dan pengendali takaful telah membayar manfaat tuntutan berjumlah kira-kira RM55 juta di bawah 855 polisi insurans hayat dan sijil takaful keluarga, menurut Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM).

Dalam satu kenyataan hari ini, persatuan itu memaklumkan bahawa pembayaran kepada keluarga dan waris terdekat dikenal pasti melalui portal Semak Kasih setakat 16 Okt.

“Pencapaian ini menyerlahkan peranan portal berkenaan dalam membantu keluarga mengesan manfaat insurans hayat dan takaful keluarga yang mungkin belum dituntut, yang ditinggalkan oleh insan tersayang yang telah meninggal dunia,” menurutnya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Portal Semak Kasih dibangunkan secara bersama oleh LIAM dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA).

Sejak dilancarkan pada Jun 2026, portal untuk menyemak perlindungan berpusat itu telah merekodkan lebih 35,000 pengguna yang ingin mengenal pasti potensi manfaat insurans hayat dan takaful keluarga milik ahli keluarga mereka yang telah meninggal dunia.

Setakat ini, Semak Kasih telah mengenal pasti lebih 7,000 padanan berpotensi dan menerima kira-kira 3,000 pertanyaan daripada orang ramai yang mendapatkan maklumat dan bantuan melalui saluran e-mel dan pusat panggilannya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ketua Pegawai Eksekutif LIAM Mark O’Dell berkata persatuan itu mahu memperjuangkan pemahaman yang lebih mendalam kepada orang ramai berhubung insurans hayat dan peranannya yang penting dalam menyediakan perlindungan kewangan kepada keluarga di Malaysia bagi mendepani ketidaktentuan hidup.

Beliau berkata membina kepercayaan orang ramai turut melibatkan usaha memastikan rakyat Malaysia memahami perlindungan insurans mereka, mengetahui cara mendapatkan manfaat yang layak diterima dan yakin terhadap komitmen industri dalam memberikan sokongan kepada mereka dan keluarga.

“Semak Kasih adalah usaha yang bermakna kepada komitmen ini. Dengan menyatukan industri insurans hayat dan takaful keluarga, kami memudahkan keluarga mengesan potensi manfaat yang mungkin tidak diketahui kewujudannya.

“Kami berharap inisiatif ini dapat membantu memastikan manfaat itu disalurkan kepada mereka yang berhak menerimanya,” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MTA Mohd Radzuan Mohamed berkata pembayaran berjumlah RM55 juta itu mencerminkan peranan penting perlindungan kewangan dalam menyokong keluarga di Malaysia.

Beliau berkata perlindungan itu dapat membantu meringankan beban kewangan dan memberikan ketenangan fikiran ketika berdepan saat-saat sukar.

“Dengan lebih 7,000 padanan berpotensi yang dikenal pasti, terdapat peluang penting untuk membantu lebih ramai keluarga mengetahui manfaat yang mungkin mereka sendiri tidak tahu kewujudannya,” tambah beliau.

Sehubungan itu, LIAM dan MTA menggalakkan rakyat Malaysia melayari portal Semak Kasih untuk menyemak manfaat insurans hayat dan takaful keluarga yang mungkin belum dituntut, yang berkaitan dengan ahli keluarga yang telah meninggal dunia.

-- BERNAMA