Eppendorf Bina Kemudahan Pertama Di Asia Tenggara Bagi Perkasa Kehadiran Serantau
BATU KAWAN, 12 Nov (Bernama) -- Syarikat peneraju dalam bidang sains hayat dari Jerman, Eppendorf SE (Eppendorf) mengukuhkan kehadirannya di Asia Pasifik dengan membina kemudahan pengeluaran pertamanya di Asia Tenggara iaitu di Pulau Pinang, bertujuan mendekatkan lagi aktiviti tersebut kepada pelanggan di rantau itu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Dr Christine Munz berkata Asia Pasifik telah menjadi salah satu pasaran yang paling pesat berkembang bagi syarikat itu, sekali gus menjadikannya semakin penting untuk mewujudkan operasi pengeluaran serantau bagi menyokong pertumbuhan yang mampan dan memenuhi permintaan pelanggan.
“Ia sangat penting untuk berada di dalam rantau ini, menjalankan pengeluaran di dalam rantau ini, demi rantau ini, bagi memastikan pertumbuhan yang mampan dan terarah kepada pelanggan,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah kemudahan itu di sini hari ini.
Munz berkata kemudahan di Pulau Pinang itu juga akan menyokong usaha Eppendorf untuk mengekalkan daya saingnya, mengembangkan portfolio produknya, dan mengekalkan pertumbuhan perniagaannya di peringkat global.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow, CEO InvestPenang Datuk Seri Loo Lee Lian dan Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Pulau Pinang Muhammad Ghaddaffi Sardar Mohamed.
Sementara itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas majlis tersebut, CEO MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pelaburan oleh Eppendorf itu mencerminkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi yang berdaya saing bagi sektor pembuatan bernilai tinggi yang dipacu teknologi.
“Selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, kemudahan baharu di Pulau Pinang ini akan memperkukuhkan ekosistem sains hayat dan teknologi perubatan negara, sambil menyokong pewujudkan pekerjaan berkemahiran, pembangunan pembekal serta integrasi yang lebih mendalam ke dalam rantaian bekalan global.
“MIDA komited untuk bekerjasama dengan Eppendorf dan rakan kongsi kami di Pulau Pinang sepanjang pelaksanaan dan perkembangan projek ini ke arah peringkat pengeluaran,” katanya.
Dalam pada itu, pelaburan sebanyak €40 juta di Taman Teknologi Bandar Cassia itu menandakan kemudahan pengeluaran pertama Eppendorf di Asia Tenggara.
Kemudahan itu akan mengeluarkan produk terpilih daripada rangkaian emparan dan instrumennya bagi makmal serta ruang kerja saintifik di seluruh dunia.
Tapak seluas 4.85 hektar (48,500 meter persegi) itu akan mempunyai keluasan binaan kira-kira 172,222 kaki persegi (16,000 meter persegi), merangkumi kemudahan pengeluaran, pergudangan, pejabat, fungsi berkaitan kualiti dan logistik.
Pengeluaran dijangka bermula pada 2028, dengan sasaran untuk mencapai tahap operasi penuh menjelang 2030.
Selain itu, Eppendorf menjangka dapat mewujudkan kira-kira 130 peluang pekerjaan menjelang akhir 2029.
Ia telah berada di Malaysia sejak 1995 melalui pejabatnya di Kuala Lumpur, sebelum operasinya berkembang daripada kegiatan komersial dan pentadbiran kepada sektor pembuatan di Pulau Pinang.
-- BERNAMA