Kerajaan Akan Perketat Syarat Pelaporan Untuk Insiden Pusat Data - Gobind
KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Kerajaan berhasrat untuk memperkukuh syarat pelaporan dan pemberitahuan ke atas pengendali pusat data bagi memastikan sebarang gangguan yang menjejaskan infrastruktur digital dapat dimaklumkan segera kepada pihak berkuasa yang berkaitan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata satu mekanisme pemberitahuan sewajarnya perlu memperincikan jenis insiden dan langkah-langkah diambil, sama ada masalah tersebut dapat diselesaikan serta sektor-sektor yang mungkin terjejas.
Keperluan sebegini menjadi semakin penting memandangkan lebih banyak industri dan aktiviti ekonomi kini bergantung kepada infrastruktur pusat data serta perkhidmatan digital tidak terganggu. katanya.
“Jika berlaku banjir mengakibatkan kerosakan pada pusat data, tiada mekanisme sedia ada mewajibkan pusat data tersebut memaklumkan kepada mana-mana pihak atau pihak berkuasa.
“ Seandainya sebuah negara atau sebahagian besar daripadanya bergantung sepenuhnya kepada pusat data dan timbul pula masalah, maka kita perlu mula memikirkan bagaimana infrastruktur tersebut harus ditadbir urus,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Minggu Kesediaan Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan 2026, di sini hari ini.
Gobind berkata Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF), dipengerusikan bersama oleh beliau dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sedang meneliti cabaran-cabaran timbul akibat perkembangan pesat industri ini.
Beliau berkata kerajaan juga sedang meneroka cara untuk menggalakkan pelabur pusat data membangunkan infrastruktur sokongan bagi bekalan tenaga dan air, demi memenuhi keperluan industri yang semakin meningkat.
“Pengumuman pelaburan oleh Google baru-baru ini bukan sekadar tertumpu kepada pembangunan pusat data, malah merangkumi usaha membina ekosistem sokongan di Malaysia.
“Memandangkan kita bakal berdepan dengan permintaan dan keperluan tenaga yang besar pada masa depan, kita mula membincangkan kemungkinan syarikat-syarikat ini turut membangunkan bekalan tenaga dan air bagi menampung operasi pusat data mereka,” kata Gobind.
Mengulas mengenai kedudukan Malaysia di tempat ke-27 daripada 70 negara dalam penarafan daya saing digital dunia (berkaitan AI) oleh IMD, beliau berkata tumpuan kini harus beralih kepada memastikan pelaburan dalam infrastruktur AI dapat menjana manfaat ekonomi yang nyata.
“Akhirnya, persoalan utama ialah sama ada kita mampu memperoleh pulangan daripada pelaburan-pelaburan tersebut,” katanya.
-- BERNAMA