BERITA TERKINI   Turkiye jadi alternatif ganti misil NSM Norway bagi kapal LCS - Mohamed khaled  | Malaysia, China perlu terus bekerjasama tingkatkan inovasi, kerjasama industri dan pembangunan bakat bagi wujudkan nilai lebih baik kepada perniagaan dan rakyat - PM Anwar  | Naib Presiden Indonesia Gibran telah menyerahkan surat peletakan jawatan secara rasmi kepada Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) dan Presiden Prabowo. - Speaker MPR Ahmad Muzani | 

Pekebun Kecil Berdepan Risiko Hasil Sawit Tidak Diterima Kilang Susulan Lebihan Bekalan – Penganalisis

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Pekebun kecil persendirian berkemungkinan paling terkesan akibat peningkatan stok minyak sawit dan kelemahan harga komoditi itu di Malaysia, menurut penganalisis.

Hal ini berikutan mereka mempunyai ruang yang terhad untuk menangguhkan jualan serta berisiko berdepan kuota penerimaan buah tandan segar (BTS) yang lebih ketat oleh kilang sawit selain berlaku penolakan hasil.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pakar Pengurusan Operasi dan Rantaian Bekalan di Asia School of Business Profesor Asad Ata berkata perkara ini berbeza dengan syarikat perladangan besar yang mempunyai kilang dan kemudahan penyimpanan sendiri manakala pekebun kecil perlu menjual BTS mereka sejurus selepas dituai bagi mengelakkan kemerosotan kualiti.

Beliau memberitahu BTS perlu dihantar ke kilang dalam tempoh sehari selepas dituai kerana kelewatan boleh menyebabkan kandungan asid lemak bebas (FFA) meningkat sekali gus berpotensi menjejaskan penggredan dan menyebabkan potongan bayaran.

Jelasnya, syarikat perladangan yang mempunyai kilang dan kemudahan penyimpanan sendiri boleh menyimpan minyak sawit mentah (MSM) di dalam tangki untuk tempoh tertentu dengan menanggung kos.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

 “Tetapi pekebun kecil yang mengusahakan kawasan seluas tiga hektar dan menunggu lori datang pada Khamis perlu menjual hasil mereka pada hari tersebut tanpa mengira harga yang ditawarkan oleh peraih. Saya dapati lambakan jarang sekali bermula dengan kilang kelapa sawit sekadar menolak buah.

“Ia lazimnya bermula apabila kilang menetapkan kuota penerimaan, kemudian menolak lebih banyak tandan semasa proses penggredan dan hanya pada tahun yang benar-benar mencabar sesebuah kilang menutup operasinya selama beberapa hari,” katanya kepada Bernama.

Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), jumlah stok minyak sawit Malaysia meningkat sebanyak 110,610 tan atau 3.15 peratus kepada 3.62 juta tan pada Oktober tahun ini berbanding September.

Eksport melonjak 55.75 peratus kepada 1.70 juta tan pada Oktober 2026 berbanding bulan sebelumnya.

Walaupun penganalisis menjangkakan stok minyak sawit mula berkurangan pada suku pertama tahun depan berikutan penyusutan pengeluaran, Ata berkata kebimbangan segera pekebun kecil adalah sama ada kilang sawit berhampiran akan terus menerima hasil penghantaran mereka atau sebaliknya.

 

Lindungi pendapatan pekebun kecil

Beliau memaklumkan pekebun kecil juga perlu mengelakkan pengurangan penggunaan baja dan input penanaman penting yang lain dalam keadaan harga rendah ketika ini kerana tindakan itu boleh menjejaskan produktiviti apabila keadaan pasaran kembali pulih.

“Ladang yang mengurangkan penggunaan baja pada tahun ini akan menghasilkan buah yang lebih sedikit pada masa akan datang, mungkin ketika harga sudah kembali pulih.

“Pekebun wajar menilai semula penggunaan input dengan mendapatkan pandangan pihak yang memahami keadaan ladang berkenaan dan bukannya mengurangkannya secara menyeluruh,” tambah beliau.

Beliau berkata pekebun kecil perlu mengekalkan jadual penuaian, memastikan tandan yang telah masak dikutip tepat pada masanya serta bekerjasama dengan peraih yang boleh dipercayai selain mempunyai akses kepada beberapa kilang sawit bagi mengurangkan risiko hasil penghantaran ditolak.

“Lagipun, penuaian tidak boleh menunggu pasaran kerana pekebun kecil menuai mengikut jadual walau apa pun yang berlaku di luar dan menjadi tugas pusat pengumpulan untuk mencari kilang manakala pusat yang cekap akan mengekalkan dua atau tiga kilang secara bergilir-gilir atas sebab itu.

“Justeru, secara praktiknya antara perlindungan paling berguna bagi seseorang pekebun kecil ialah kualiti peniaga (peraih) mereka dan adalah wajar untuk bertanya kepada peraih anda berapa banyak kilang yang boleh menerima penghantaran mereka apabila kilang yang biasa digunakan mula mengenakan kuota,” katanya lagi.

Ata turut menasihatkan pekebun kecil supaya menyimpan rekod yang teratur mengenai berat BTS, keputusan penggredan dan potongan bayaran selain menggunakan harga rujukan harian MPOB sebagai penanda aras untuk menilai harga yang ditawarkan oleh peraih.

 

Mekanisasi dan teknologi 

Mengenai daya saing jangka panjang, Ata berkata mekanisasi, aturan koperasi serta akses yang lebih baik kepada maklumat pasaran dapat membantu pekebun kecil mengurus kos dan mengukuhkan kuasa tawar-menawar mereka.

Beliau menambah perkongsian jentera melalui koperasi, kontraktor atau kumpulan petani berjiran adalah lebih menjimatkan berbanding membeli peralatan mahal yang mungkin terbiar tidak digunakan sepanjang sebahagian besar tahun.

“Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, mekanisasi kebanyakannya akan tertumpu kepada penggunaan mesin penuai, alat pemotong, traktor kecil dan jentera pengangkut yang memindahkan tandan dari ladang ke tepi jalan serta dron yang boleh membantu kerja penyemburan dan pembajaan di kawasan ladang yang sesuai,” kata Ata.

Beliau turut menggesa pekebun kecil supaya memastikan rekod pemetaan tanah dan dokumen pensijilan mereka sentiasa teratur bagi melindungi akses ke pasaran eksport ketika keperluan kebolehkesanan antarabangsa, khususnya di bawah Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) menjadi semakin ketat.

“Ladang yang mempunyai rekod yang teratur mempunyai peluang lebih baik untuk buahnya diterima apabila kilang terpaksa memilih antara pembekal,” nasihatnya.

-- BERNAMA