BERITA TERKINI   PH sambut baik keterbukaan BN berhubung agihan kerusi hadapi PRN Melaka - Fahmi | 

Masakan Jepun Pacu Eksport Produk Pertanian, Makanan Laut Jepun Ke Malaysia

Oleh Christine Lim

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Masakan Jepun, dipacu permintaan terhadap produk makanan halal dan pendapatan pengguna yang meningkat, dijangka terus merangsang eksport produk pertanian dan makanan laut Jepun ke Malaysia, kata Pengarah Urusan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) Kuala Lumpur Koichi Takano.

Beliau berkata pada masa ini, Malaysia berada pada kedudukan ke-10 dalam kalangan semua destinasi eksport bagi produk pertanian, perhutanan, perikanan dan makanan Jepun, meningkat daripada kedudukan ke-13 sebelum ini.

Ad Banner

"Keadaan itu membuktikan kepentingan Malaysia yang semakin menyerlah sebagai pasaran utama Jepun di Asia Tenggara dan melambangkan pertumbuhan berterusan permintaan terhadap produk makanan Jepun dalam kalangan pengguna dan perniagaan di Malaysia," katanya kepada Bernama pada Siri Kuliah Masakan Jepun yang dianjurkan Jetro baru-baru ini di Taylor’s University.

Menurutnya kesedaran terhadap kepentingan budaya Washoku atau masakan tradisional Jepun yang diiktiraf dalam Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2013, turut medorong permintaan terhadap masakan Jepun.

Takano berkata, menurut statistik Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun (MAFF) eksport produk pertanian, perhutanan, perikanan dan makanan Jepun ke Malaysia mencecah 29.1 bilion yen (100 yen = RM2.60) pada 2025, meningkat 26.3 peratus tahun ke tahun berbanding 2024.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Data itu menunjukkan produk pertanian menyumbang kira-kira 70 peratus daripada jumlah eksport manakala produk makanan laut menyumbang sekitar 29 peratus.

"Jumlah nilai eksport produk pertanian, perhutanan, perikanan dan makanan Jepun ke Malaysia pula mencecah 15 bilion yen bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, menokok 42.3 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2025," katanya.

Beliau berkata e-dagang serta peningkatan perjalanan ke Jepun yang mendorong permintaan pengguna turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan permintaan terhadap masakan Jepun.

"Pertambahan restoran Jepun di seluruh dunia menunjukkan bahawa masakan Jepun telah diterima secara meluas di peringkat antarabangsa," katanya.

Agensi berita Kyodo melaporkan bahawa, menurut kerajaan Jepun, eksport produk pertanian, perhutanan, perikanan dan makanan Jepun bagi separuh pertama 2026 meningkat 10.9 peratus kepada 897.7 bilion yen (US$5.7 bilion) berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, sekali gus mencatat rekod tertinggi bagi tempoh itu.

Eksport teh hijau mencatatkan peningkatan ketara, didorong oleh ledakan permintaan global terhadap matcha.

Kyodo juga memetik laporan Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun bahawa pertambahan jumlah pelancong asing ke negara itu turut meningkatkan kesedaran pengguna di luar negara terhadap makanan Jepun.

 

 

Malaysia Gerbang Pengembangan Produk Makanan Jepun

 

Menurut Takano, di seluruh rantau ASEAN, Malaysia mempunyai potensi besar sebagai gerbang untuk memperluas budaya makanan dan produk makanan Jepun.

“Malaysia merupakan pasaran yang mempunyai pelbagai kaum dan budaya yang telah terbiasa dengan pelbagai tradisi kulinari serta sajian makanan antarabangsa.

“Negara itu turut menerima manfaat daripada penggunaan bahasa Inggeris yang meluas, rangkaian hotel antarabangsa yang maju, pengeluar makanan dan institusi pendidikan serta sistem pensijilan halal, keupayaan pemprosesan makanan serta infrastruktur logistik yang kukuh,” katanya.

Takano berkata model kejayaan Malaysia yang menggabungkan pembangunan sumber manusia, inovasi produk, kesiapsiagaan halal serta rangkaian pengedaran yang cekap, boleh dijadikan kerangka bernilai bagi mempromosikan masakan dan produk makanan Jepun di seluruh ASEAN serta pasaran lain yang sebahagian besar penduduknya beragama Islam.

Beliau turut menekankan keperluan untuk mengenal pasti produk makanan Jepun yang tulen melalui penggunaan instrumen penting seperti tanda dagangan, petunjuk geografi dan pelabelan negara asal bagi mengelakkan produk tiruan.

“Pengeluar dan syarikat juga perlu mendaftarkan hak harta intelek mereka di pasaran eksport, mewujudkan saluran pengedaran yang sah serta meningkatkan kebolehkesanan produk di seluruh rantaian bekalan,” kata Takano.

Beliau turut menekankan bahawa penerapan teknik masakan Jepun terhadap bahan makanan segar Malaysia berupaya mewujudkan model perniagaan yang lebih mampan dan berdaya maju dari segi komersial yang juga memberi manfaat kepada pengeluar tempatan di Malaysia.

“Prospek keseluruhan kekal positif dan kami menjangkakan lebih banyak syarikat Jepun mewujudkan perniagaan serta operasi perkhidmatan makanan dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.

Mengenai impak kelemahan yen terhadap industri perkhidmatan makanan di Malaysia, Takano berkata mata wang Jepun yang lemah tidak semestinya menyebabkan harga semua produk makanan Jepun lebih rendah, terutama apabila pengeluar Jepun terus berdepan peningkatan kos berkaitan baja, makanan ternakan, tenaga, bahan pembungkusan, bahan mentah import dan logistik.

Mengenai cuaca ekstrem seperti El Niño, beliau berkata walaupun fenomena itu boleh memberi kesan terhadap aktiviti pertanian di Jepun dan eksport, kesan itu tidak menjejaskan semua produk pertanian atau makanan laut pada tahap yang sama.

Menurutnya kesan suhu yang lebih tinggi, taburan hujan rendah, hujan berlebihan atau serangan perosak mempunyai perbezaan yang ketara mengikut jenis tanaman, lokasi geografi dan musim penanaman.

"Potensi risiko boleh dikurangkan melalui langkah seperti mempelbagaikan kawasan sumber, menerima pakai amalan pertanian yang lebih baik, melabur dalam teknologi pembekuan dan pemprosesan serta mengekalkan pengurusan inventori yang berkesan," katanya.

Sementara itu, Takano berkata organisasi itu sedang menganjurkan siri kuliah masakan Jepun dengan kerjasama Taylor’s University untuk mereka yang bercita-cita menjadi cef, yang akan menjadi peneraju generasi baharu industri perkhidmatan makanan Malaysia dalam sektor hotel dan restoran.

Menurutnya langkah itu adalah sebahagian daripada peranan Jetro dalam mempromosikan eksport produk makanan Jepun di Malaysia

“Inisiatif itu bukan sahaja sebagai aktiviti promosi jangka pendek, malah merupakan pelaburan strategik jangka panjang dalam memupuk permintaan pada masa depan serta mengukuhkan kewujudan makanan Jepun di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pada masa akan datang, kerjasama sedemikian yang turut dijalinkan dengan universiti lain, institusi kulinari dan hospitaliti boleh diperluaskan bagi mengembangkan lagi masakan Jepun di Malaysia.

-- BERNAMA