Blok Pembangkang Keluar Dewan Rakyat, Tidak Ambil Bahagian Penerangan Menteri Berhubung RCI TH
KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar meninggalkan Dewan Rakyat hari ini dan tidak akan mengambil bahagian dalam sesi penerangan Menteri berkenaan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) melibatkan isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH).
Tindakan itu dibuat, selepas mereka tidak berpuas hati dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, yang meneruskan sesi penerangan tanpa kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Susulan itu, Johari membenarkan Ahli-ahli Parlimen pembangkang keluar daripada sidang itu dan mesyuarat diteruskan mengikut aturan yang ditetapkan.
“Kalau siapa nak keluar, keluar. Kalau siapa nak tunggu, tunggu. Sebab rakyat sedang melihat anda. Baik, siapa yang rasa dia tak mahu bincang dan lihat ini bukan penting, sila keluar,” katanya sebelum meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, meneruskan sesi penerangan.
Terdahulu, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengemukakan cadangan supaya persidangan khas itu ditangguhkan, susulan ketidakhadiran Anwar dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang masing-masing sedang dirawat akibat masalah kesihatan.
-- BERNAMA