Saham AirAsia Group Naik Dua Peratus Pada Dagangan Awal
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Harga saham AirAsia Group Bhd meningkat dua peratus pada dagangan awal Jumaat meskipun syarikat penerbangan itu mencatatkan kerugian bersih bagi suku kedua 2026 dalam keputusan kewangan syarikat itu yang diumumkan semalam.
Syarikat penerbangan itu mencatatkan kerugian bersih RM527.16 juta bagi suku kedua 2026, terutamanya disebabkan perbelanjaan bahan api yang lebih tinggi dan kerugian pertukaran asing, manakala hasil bagi suku berkenaan berjumlah RM5.08 bilion.
Pada 10.03 pagi, sahamnya meningkat dua sen kepada RM1.02 dengan 16.10 juta saham diniagakan.
Dalam satu nota hari ini, Public Investment Bank Bhd berkata AirAsia telah menggantung sementara beberapa laluan dan secara strategik mengurangkan kapasiti sebanyak 11 peratus pada suku kedua berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Menurutnya, kumpulan itu turut mengukuhkan kedudukan kewangan, mengekalkan rizab tunai serta memperoleh pembiayaan yang lebih baik bagi membiayai semula hutang dan mengurangkan bayaran pokok bagi tahun ini.
"Untuk tempoh mendatang, kumpulan itu terus bekerjasama dengan institusi kewangan, vendor dan pihak berkuasa serantau untuk mengoptimumkan modal kerja melalui pengurangan kos dan langkah sokongan tambahan bagi baki tahun ini.
“Secara keseluruhannya, kami menurunkan unjuran kewangan 2026 hingga 2028 secara purata sebanyak 27 peratus bagi mengambil kira permintaan yang lebih lemah, pengurangan kapasiti dan hasil yang lebih rendah,” katanya.
Sehubungan itu, bank pelaburan berkenaan mengekalkan saranan "neutral" terhadap AirAsia Group, dengan harga sasaran lebih rendah iaitu RM1.05 berbanding RM1.29 sebelum ini.
-- BERNAMA