Untung Bersih Maxis Naik Kepada RM436 Juta Pada Suku Kedua 2026, Umum Dividen Empat Sen
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Maxis Bhd (Maxis) mencatatkan keuntungan bersih lebih kukuh sebanyak RM436 juta pada suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2026 (S2 2026), berbanding RM398 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Perolehannya turut meningkat kepada RM2.66 bilion pada suku tersebut berbanding RM2.56 bilion sebelumnya, disokong oleh pendapatan daripada perkhidmatan dan peranti yang lebih tinggi.
Menurutnya, pendapatan peranti meningkat kepada RM454 juta dan pendapatan perkhidmatan naik kepada RM2.25 bilion pada suku kedua 2026.
“Dalam perolehan perkhidmatan, segmen perniagaan pengguna menyaksikan pertumbuhan 2.2 peratus kepada RM1.84 bilion.
Pendapatan pascabayar naik 4.2 peratus tahun ke tahun, dengan jumlah langganan meningkat sebanyak 197,000 kepada 4.2 juta pelanggan hasil daripada penawaran produk yang berkesan untuk memenuhi keperluan pasaran daripada pelbagai segmen pelanggan.
“Bagaimanapun, segmen prabayar menyaksikan penurunan dalam langganan berikutan peralihan dari prabayar kepada pascabayar, namun masih mengekalkan pendapatan yang stabil sebanyak RM612juta, dengan nilai tawaran yang lebih baik disediakan kepada pelanggan yang menghasilkan peningkatan purata pendapatan setiap pengguna (ARPU),” kata syarikat telekomunikasi itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Tambah Maxis, segmen perniagaan perusahaan merekodkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 2.2 peratus kepada RM416 juta, susulan pelaksanaan projek yang lebih tinggi bagi perniagaan penyelesaian dan tetap.
Bagi separuh tahun pertama, Maxis mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM853 juta daripada RM769 juta, manakala perolehan naik kepada RM5.39 bilion daripada RM5.17 bilion sebelumnya.
Mengenai prospek, Maxis menjelaskan bahawa ketika landskap telekomunikasi semakin kompetitif, ia kekal fokus untuk memacu pertumbuhan mampan jangka panjang dengan memperkemaskan kecekapan operasi sambil meningkatkan pengalaman pelanggan melalui inovasi perkhidmatan dan kebolehpercayaan rangkaian yang unggul.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Goh Seow Eng berkata walaupun kumpulan itu mengakhiri separuh pertama dengan kukuh, panduan sepanjang tahunnya kekal tidak berubah pada pertumbuhan satu digit yang rendah, dalam hasil perkhidmatan serta pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA), dengan intensiti perbelanjaan modal antara 10 dan 12 peratus.
“Sepanjang baki tahun ini, kami kekal fokus untuk memanfaatkan rangkaian bersepadu kami bagi mewujudkan nilai untuk pengguna dan memperkasa perniagaan, selain memberikan pertumbuhan jangka panjang yang mampan kepada pemegang saham kami,” tambahnya.
Pada masa sama, Maxis turut mengisytiharkan dividen pengecualian cukai satu peringkat sebanyak empat sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
-- BERNAMA