Hextar Global, PKNS Bekerjasama Bangun Perbandaran Di Siera Alam
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Hextar Global Bhd Dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan bekerjasama untuk membangunkan tanah berkeluasan 97.28 hektar di Siera Alam, Shah Alam menjadi sebuah pembangunan guna campur bersepadu.
Hextar dan PKNS melalui satu kenyataan bersama berkata subsidiari tidak langsung 70 peratus milik Hextar, Hextar Landmark Sdn Bhd telah memeterai perjanjian usaha sama (JV) dengan Kotaputeri Development Sdn Bhd (KDSB), anak syarikat PKNS.
Pembangunan itu akan dilaksanakan melalui syarikat JV, Hextar Siera Sdn Bhd, yang mana Hextar Landmark akan memegang 70 peratus pegangan ekuiti dan bakinya oleh KDSB.
"Pembangunan itu dijangka akan berjalan dalam tempoh 10 tahun merentasi beberapa fasa dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM3.80 bilion.
"Campuran produk terdiri daripada rumah teres, vila berkembar, vila dan komponen komersil, dilengkapi dengan komponen kediaman, komersil serta gaya hidup bertingkat tinggi terpilih," katanya.
Serentak dengan perjanjian tersebut, Hextar Siera telah memeterai perjanjian jual beli dengan PKNS untuk pembelian tanah pembangunan berkaitan berharga RM270 juta.
Selain itu, JV itu dijangka menyumbang lebih daripada 25 peratus daripada keuntungan bersih atau aset bersih Hextar pada masa hadapan.
Bagi KDSB, perkongsian itu membuka kunci nilai tanah pembangunan dan menjana pulangan jangka panjang, sambil menyumbang kepada agenda pembangunan negeri yang lebih luas melalui penciptaan pekerjaan, pembaharuan bandar dan memangkin pertumbuhan di kawasan sekitar.
Pengarah Urusan Kumpulan Hextar, Lee Chooi Keng berkata JV itu menandakan kejayaan transformasi untuk Hextar apabila kumpulan itu memulakan usaha pembangunan hartanah sulungnya.
"Perkongsian kami dengan PKNS menggabungkan kekuatan yang saling melengkapi untuk menyampaikan pelan induk yang dirancang dengan teliti yang akan mencipta nilai berkekalan kepada pemilik rumah, masyarakat sekeliling serta pemegang saham kami," katanya.
-- BERNAMA