KDNK Tumbuh Kukuh, Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Dolar AS
Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Ringgit ditutup meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat susulan angka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia suku kedua 2026 yang lebih kukuh, sekalig gus memberi sokongan terhadap mata wang tempatan.
Pada masa sama, data inflasi lebih rendah di AS sebagaimana dipaparkan Indeks Harga Pengguna (IHP) dan Indeks Harga Pengeluar (IHPr) mendorong Indeks Dolar AS susut 0.17 peratus kepada 99.798 mata.
Setakat 6 petang ini, ringgit diniagakan lebih tinggi pada 4.0840/0885 berbanding dolar AS berbanding paras 4.0850/0890 yang dicatatkan pada akhir urus niaga semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata KDNK Malaysia mencatat pertumbuhan pada 6.0 peratus bagi suku kedua 2026 dan mengatasi jangkaan awal pada 5.8 peratus.
“Ini menunjukkan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan walaupun dalam persekitaran ekonomi tidak menentu yang ketara di luar negara,” katanya kepada Bernama.
Terdahulu, Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan pertumbuhan itu didorong oleh permintaan domestik yang berterusan dan prestasi eksport yang kukuh.
Perbelanjaan isi rumah disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang stabil dan sokongan dasar yang berterusan manakala pertumbuhan pelaburan pula disokong oleh perbelanjaan yang berterusan bagi struktur serta jentera dan kelengkapan, menurut bank pusat itu dalam kenyataan hari ini.
Prestasi bagi suku kedua 2026 itu turut mengatasi pertumbuhan 5.4 peratus pada suku pertama 2026.
BNM menyatakan bagi sektor luaran, pertumbuhan pesat eksport didorong terutamanya oleh permintaan yang terus kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) dan pengembangan perkhidmatan yang berterusan, di samping pemulihan eksport gas asli cecair (LNG) dan produk perkilangan bukan E&E.
Sementara itu pada akhir urus niaga hari ini, ringgit diniagakan rendah berbanding kelompok mata wang utama dunia.
Ini termasuk susut berbanding yen Jepun kepada 2.5660/5690 daripada 2.5634/5660 semalam dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.5232/5293 daripada 5.5119/5173, sebelum ini.
Ringgit juga turun berbanding euro kepada 4.7182/7234 daripada 4.7120/7167.
Selain itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.
Berbanding peso Filipina, ringgit diniagakan mengukuh pada 6.64/6.66 daripada 6.66/6.67 dan tinggi berbanding baht Thailand kepada 12.3153/3333 daripada 12.3239/3412.
Bagaimanapun, ringgit rendah berbanding rupiah Indonesia pada 229.0/229.4 daripada 228.4/228.8 semalam dan turun berbanding dolar Singapura pada 3.1924/1964 daripada 3.1912/1945, semalam.
-- BERNAMA