PKNS, Hextar Bangun Perbandaran Bernilai RM3.8 Bilion Di Siera Alam
SHAH ALAM, 14 Ogos (Bernama) -- Hextar Global Bhd melalui subsidiari tidak langsung 70 peratus miliknya, Hextar Landmark Sdn Bhd telah bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk membangunkan perbandaran guna campur bersepadu dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai RM3.8 bilion di Siera Alam, Shah Alam.
Pengarah Eksekutif Bahagian Pembangunan Hartanah Hextar Global, Datuk Edmund Kong Woon Jin berkata Hextar Landmark telah memeterai perjanjian usaha sama (JV) dengan Kotaputeri Development Sdn Bhd (KDSB), anak syarikat PKNS, untuk membangunkan secara bersama kira-kira 240.388 ekar melalui syarikat JV yang dinamakan, Hextar Siera Sdn Bhd.
Beliau berkata Hextar Landmark akan memegang 70 peratus pegangan ekuiti dalam Hextar Siera, manakala baki 30 peratus lagi akan dipegang oleh KDSB.
Projek itu disasarkan kepada golongan berpendapatan sederhana ke atas yang mencari rumah reka bentuk yang lebih unggul, persekitaran hijau, keselamatan yang dipertingkatkan dan kemudahan gaya hidup yang lebih baik.
"Pembangunan itu, yang menandakan usaha sulung Hextar dalam pembangunan hartanah, dijangka dilaksanakan dalam beberapa fasa dalam tempoh anggaran 10 tahun yang terdiri daripada rumah teres, vila berkembar, vila dan komponen komersil, dilengkapi dengan kediaman bertingkat tinggi, komersial serta gaya hidup terpilih,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian JV antara KDSB dengan Hextar Landmark di Pusat Inovasi dan Teknologi (SITC) Shah Alam hari ini.
Pembangunan ini akan dipandu oleh falsafah "Park First, Home Second", dengan pelan yang berfokus pada taman pusat dan tasik sebagai titik sosial masyarakat, di samping laluan mesra pejalan kaki dan persekitaran berlandskap.
Sementara itu, Edmund berkata Hextar Siera telah memeterai perjanjian jual beli dengan PKNS untuk memperoleh tanah pembangunan berkaitan pada harga RM270 juta.
Pengambilalihan akan dibiayai melalui gabungan pinjaman bank dan ekuiti, manakala pertimbangan pembelian disokong oleh penilaian bebas yang dilaksanakan oleh Laurelcap Sdn Bhd.
Edmund juga berkata memandangkan usaha sama ini dijangka menyumbang lebih 25 peratus daripada keuntungan bersih kumpulan pada masa hadapan, ia akan mendapatkan kelulusan pemegang saham bagi mempelbagaikan perniagaannya ke dalam pembangunan hartanah, pembinaan, pelaburan dan pengurusan hartanah.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Datuk Mahmud Abbas berkata perkongsian itu akan membolehkan nilai tanahnya dioptimumkan bagi menjana pulangan jangka panjang sambil menyokong agenda pembangunan Selangor melalui penjanaan semula bandar dan pertumbuhan sekitar.
Beliau juga menegaskan kerjasama strategik dengan Kumpulan Hextar dibina atas dasar empati, hormat-menghormati dan persefahaman antara kedua-dua organisasi dalam menjaga kepentingan negeri selain memacu agenda pembangunan perbandaran lestari Selangor.
Pemilihan rakan pembangunan dibuat bukan semata-mata berdasarkan keupayaan perniagaan tetapi juga bertunjangkan falsafah pembangunan dan keupayaan mereka untuk mencipta nilai jangka panjang kepada masyarakat.
Pendekatan ini adalah selaras dengan konsep pembangunan yang dicadangkan Hextar untuk projek tersebut termasuk penekanan kepada kawasan hijau, taman, tasik dan persekitaran yang selesa bagi komuniti, katanya
PKNS juga menjurus ke arah mengekalkan hubungan jangka panjang dengan rakan usaha sama untuk memastikan kepentingan negeri terpelihara sepanjang pelaksanaan projek berkenaan.
"PKNS mempunyai simpanan tanah yang besar tetapi tidak memiliki kapasiti untuk membangunkan petak-petak tersebut bersendirian, kami memerlukan rakan strategik yang membawa kepakaran dan falsafah pembangunan yang sejajar. Melalui kerjasama ini, PKNS boleh memanfaatkan kepakaran rakan kongsi kami untuk memaksimumkan nilai tanah," katanya lagi.
-- BERNAMA