BERITA TERKINI   Jadikan Kongres Nasional PKR medan muhasabah, nilai pencapaian - PM Anwar | PKR perlu terus berperanan sebagai gerakan massa, junjung integriti, keadilan sosial dan amanah rakyat - PM Anwar | Keadaan TPM Fadillah bertambah baik seperti dijangka pasukan petugas kesihatan - IJN | TPM Fadillah selamat jalani pembedahan pintasan jantung Rabu lepas - Pejabat TPM | Lonjakan KDNK mengatasi jangkaan pasaran, catat prestasi pertumbuhan suku kedua paling kukuh di luar tempoh pandemik sejak 2014 - PM Anwar | 

Indonesia Sasar Pertumbuhan 6 Peratus, Cadang Belanjawan RP4.09 Kuadrilion 2027

JAKARTA, 14 Ogos (Bernama) -- Indonesia mencadangkan perbelanjaan negara sebanyak Rp4.09 kuadrilion (Rp1 juta = RM228.40) bagi 2027 bagi menyokong lapan program keutamaan nasional, ketika kerajaan menyasarkan pertumbuhan ekonomi lebih kukuh sebanyak 6 peratus tahun depan.

Presiden Prabowo Subianto berkata cadangan perbelanjaan itu lebih tinggi berbanding Rp3.84 kuadrilion dalam Belanjawan Negara 2026, manakala hasil negara bagi 2027 diunjurkan sebanyak Rp3.42 kuadrilion, meningkat daripada Rp3.15 kuadrilion tahun ini.

Di bawah cadangan belanjawan itu, beliau berkata pertumbuhan ekonomi disasarkan pada 6 peratus bagi 2027, lebih tinggi berbanding sasaran 5.4 peratus di bawah Belanjawan Negara 2026, manakala inflasi dijangka dikekalkan pada 2.5 peratus.

Ad Banner

Mengenai kedudukan fiskal, beliau berkata pembiayaan dicadangkan sebanyak Rp671.2 trilion, dengan defisit fiskal diunjurkan pada 2.40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) -- lebih rendah berbanding pembiayaan sebanyak Rp689.1 trilion dan defisit 2.68 peratus di bawah Belanjawan Negara 2026.

“Kami akan berusaha untuk mengurangkannya lagi. Kami memahami bahawa defisit yang ideal adalah serendah yang mungkin dan sememangnya aspirasi kami adalah untuk mencapai belanjawan yang seimbang,” kata Prabowo ketika membentangkan Rang Undang-Undang Belanjawan Negara 2027 dan Nota Kewangan pada Jumaat.

Beliau berkata Draf Belanjawan Negara 2027 akan memberi tumpuan kepada lapan program keutamaan nasional, termasuk kedaulatan makanan, keupayaan sara diri dalam tenaga dan air, pendidikan, kesihatan, serta hiliran dan perindustrian.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Keutamaan lain ialah infrastruktur, perumahan dan daya tahan terhadap bencana; memperkukuh ekonomi rakyat dan pembangunan desa; serta pengurangan kemiskinan.

“Lapan keutamaan itu disokong dengan pengukuhan pertahanan dan keselamatan, penguatkuasaan undang-undang, tadbir urus, mempercepatkan pendigitalan dan diplomasi ekonomi,” kata presiden itu.

Dengan pertumbuhan yang lebih kukuh dan Belanjawan Negara yang berkesan, Prabowo berkata kadar kemiskinan disasarkan pada 6.0 hingga 6.5 peratus tahun depan, berbanding sasaran 6.5 hingga 7.5 peratus pada 2026.

Beliau berkata kadar pengangguran terbuka disasarkan pada 4.30 hingga 4.87 peratus, turun daripada 4.44 hingga 4.96 peratus pada 2026, manakala nisbah Gini disasarkan bertambah baik kepada antara 0.362 dan 0.367 dan Indeks Modal Insan meningkat kepada 0.575.

-- BERNAMA