BERITA TERKINI   Atlet Johor Danish Iftikhar Muhammad Roslee dan Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira (Terengganu) dinobatkan Raja, Ratu Pecut SUKMA 2026 | DAP putuskan kekal dalam Kerajaan MADANI sehingga tamat penggal Parlimen ke-15 - Speaker Persidangan DAP | Jalur Gemilang: Masyarakat semakin cakna, perbetulkan dan ambil sikap menasihati jika berlaku kesilapan - Fahmi | PM Anwar jamin hubungan dengan UMNO, BN di peringkat Persekutuan terus kekal | AUKU akan dimansuh sepenuhnya, tidak benarkan ada akta atau undang-undang kongkong mahasiswa - PM Anwar | 

Mamas Sasar Perluas Pasaran Eksport Sos, Kicap Ke Kemboja Tahun Depan

Oleh Nur Faradilla Mohamad

JOHOR BAHRU, 16 Ogos (Bernama) -- Pengeluar dan pembekal pelbagai sos halal tempatan Mamas M&M (M) Sdn Bhd menyasar untuk memperluas pasaran eksport produk sos dan kicap keluarannya ke pasaran Kemboja pada pertengahan tahun depan.

Pengasas yang juga Pengurus syarikat P. Poobalan berkata ini susulan permintaan yang diterima dari negara tersebut selepas produknya mula menembusi pasaran Singapura kira-kira enam bulan lepas dan mendapat sambutan menggalakkan.

Ad Banner

“Kita menerima permintaan dari Kemboja dan kini sedang memuktamadkan dokumen perjanjian. Kemungkinan besar produk kita akan mula dipasarkan di sana pada pertengahan tahun depan,” katanya dalam satu temu bual bersama Bernama di Iskandar Halal Park, di sini, baru-baru ini.

Poobalan berkata selain memiliki pensijilan Sijil Halal JAKIM, produk keluaran syarikat itu yang menggunakan jenama MAMAS turut mempunyai skim pensijilan keselamatan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) selain mematuhi keperluan Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Antara produk syarikat yang mendapat permintaan tinggi ialah sos cili, sos tiram dan kicap manis, selain kicap pekat, kicap cair serta cuka putih, yang dibekalkan kepada segmen HoReCa (Hotel, Restoran, dan Catering) menerusi pengedar dan pemborong di Johor, Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Pasaran Kuala Lumpur dan Selangor sangat kompetitif, tetapi produk dan jenama kami masih boleh bersaing dengan menawarkan kualiti pada harga yang berpatutan bermula RM14.50 hingga RM22," katanya.

Bermula dengan modal perniagaan hanya RM300 pada 1997, Poobalan kemudian mula mengembangkan perniagaan dengan mengeluarkan produknya sendiri secara kecil-kecilan sehingga kemudiannya mampu mengeksport ke luar negara.

“Ketika itu tak banyak lagi jenama dan pilihan yang memenuhi cita rasa tempatan juga masih kurang, daripada situ saya teroka peluang untuk menghasilkan sos serta kicap.

"Masa mula-mula, nak jual sebotol pun ambil masa lebih kurang 10 hingga 15 hari tetapi hari ini lebih 1,000 botol dapat dijual sehari," katanya.

Beliau berkata ketika ini syarikat itu mengeluarkan kira-kira 30,000 botol sebulan dengan anggaran nilai jualan antara RM200,000 hingga RM300,000 dan menyasarkan nilai jualan RM3 juta tahun ini didorong permintaan yang semakin meningkat terhadap produknya.

“Tahun lepas kami berjaya merekodkan (jualan bernilai) kira-kira RM2 juta dan tahun ini kami sasar jualan RM3 juta,” katanya sambil menambah setakat ini nilai jualan tahun ini telah melepasi RM2 juta dan sasaran itu semakin hampir dapat dicapai.

Bagi memperluaskan lagi pilihan produk, Poobalan berkata syarikat itu bakal memperkenalkan produk mayones, nachos dan sos sriracha berkrim, selain sedang menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan pati sirap ros.

Selain itu, katanya, syarikat juga sedang dalam proses menghasilkan pembungkusan bersaiz kecil susulan permintaan daripada pihak yang menjalankan jualan secara dalam talian, berbanding pembungkusan sedia ada yang lebih besar untuk segmen HoReCa.

Bagaimanapun, beliau berkata antara cabaran utama yang dihadapi ketika ini ialah kekurangan bekalan bahan pembungkusan khususnya botol, susulan konflik geopolitik di Asia Barat yang  memberi kesan langsung terhadap syarikat itu.

"Misalnya pelanggan pesan 10,000 botol tetapi kita hanya dapat cari 2,000 hingga 3,000 botol sahaja, tetapi kita tak boleh sewenang-wenangnya menukar botol kerana dah 'automate packing line' dan 'setting' mesin,” katanya yang mempunyai 10 pekerja dan menggunakan automasi dalam proses pengeluaran bagi meningkatkan kecekapan operasi.

Sementara itu, beliau berkata, usaha perniagaannya turut mendapat sokongan daripada pelbagai agensi seperti SME Corporation Malaysia (SME Corp) yang menyediakan geran berjumlah RM60,000 tahun lepas iaitu 50 peratus daripada kos jentera, bagi menaik taraf sistem pembungkusan syarikat.

Selain itu Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) juga membantu dari segi peluasan pemasaran dan promosi produk, manakala Perbadanan Usahawan Johor (PUJB) menampung 50 peratus kos reruai bagi penyertaan syarikat dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di samping mempromosi produk, katanya.

--BERNAMA