BERITA TERKINI   Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix Di Malaysia 2026: Kawalan lalu lintas di lapan checkpoint bermula pagi Jumaat ini - Ketua Polis Daerah KLIA | Motosikal dilarang memasuki kawasan SIC sepanjang Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix berlangsung - CEO SIC | PM Anwar ucap tahniah kepada UM, duduki kelompok 200 terbaik dalam Times Higher Education World University Rankings 2027 | Konflik Asia Barat: Malaysia, Qatar senada perang mesti dihentikan, bantuan kemanusiaan disegerakan dan ikhtiar damai diperkukuh - PM Anwar | Malaysia terus dukung usaha diplomatik bersama Qatar, rakan serantau untuk keamanan berkekalan - PM Anwar | 

Malaysia Sasar Pertingkat Eksport Produk Sawit Nilai Tinggi Ke India -- Noraini

Oleh Shakir Husain

HYDERABAD, 30 Sept (Bernama) -- Malaysia sedang meneliti langkah bagi meningkatkan lagi eksport produk-produk minyak sawit bernilai tinggi ke India seiring dengan permintaan terhadap minyak sayuran yang kekal kukuh di negara pengimport utama itu.

Data rasmi Malaysia menunjukkan India mengimport lebih daripada 2.26 juta tan minyak sawit Malaysia yang menyumbang hampir 18 peratus daripada jumlah pengeluaran negara ini.

Ad Banner

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata ini merupakan peningkatan sebanyak 40 peratus berbanding jumlah eksport Malaysia ke India bagi tempoh sama pada 2025.

Beliau yang menghadiri satu persidangan industri di Mumbai pada Rabu, berkata strategi Malaysia juga melangkaui usaha meningkatkan jumlah eksport minyak sawit mentah (MSM) ke pasaran nombor satu itu.

"Kita juga mahu memperluaskan lagi perdagangan dalam produk-produk bernilai tinggi ini seperti oleokimia, terutamanya lelemak, ramuan makanan dan produk penjagaan diri,” katanya kepada Bernama menerusi e-mel.

Ad Banner
Ad Banner

Noraini berkata Malaysia berpendapat wujudnya peluang meningkatkan kerjasama dua hala yang menjadi sebahagian daripada usaha India melonjakkan penanaman kelapa sawit menerusi Misi Nasional Minyak Makan – Kelapa Sawit.

Pada masa sama, Malaysia mempunyai pengalaman lebih seabad di keseluruhan rantaian nilai industri kelapa sawit, termasuk pembiakan, pengurusan tapak semaian, pembangunan ladang, penuaian, pengilangan dan pengeluaran mampan.

“Menerusi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), kita sedang berusaha memperkukuh hubungan dengan pihak pengilang, penapis minyak dan persatuan industri di India.

“Kita juga meneruskan perbincangan dengan kerajaan India bagi menyokong persekitaran perdagangan yang stabil dan boleh diramal, yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.

Malaysia adalah antara pembekal utama minyak sawit ke India yang bergantung kepada import untuk menampung kira-kira dua pertiga daripada keperluannya.

Import minyak sayuran India, termasuk minyak kacang soya dan minyak bunga matahari berjumlah lebih daripada 11.2 juta tan setakat Ogos lepas, menurut data industri.

Noraini juga menyifatkan sektor minyak sawit Malaysia sebagai mencatat prestasi baik pada tahun ini manakala pengeluaran serta eksport dijangka kekal stabil pada 2027.

"Industri minyak sawit Malaysia kekal berdaya tahan. Pengeluarannya telah mencecah sebanyak 12.6 juta tan dalam tempoh lapan bulan pertama 2026 manakala pengeluaran bagi keseluruhan tahun diunjurkan sekitar 19.7 juta tan,” kata Noraini.

“Eksport juga mencatatkan prestasi baik apabila meningkat kira-kira 806,000 tan atau 8.4 peratus dalam tempoh yang sama. Kita menjangkakan eksport bagi keseluruhan tahun ini mencecah sekitar 16 juta tan,” katanya.

Menyentuh cabaran dihadapi perdagangan minyak makan berikutan perang dan krisis yang berlanjutan, Noraini berkata keadaan itu mendorong kenaikan kos serta kebimbangan pengimport mendapatkan bekalan secara konsisten serta boleh dipercayai.

“Perkembangan geopolitik global ini ternyata telah meningkatkan kos pengangkutan, tenaga dan insurans, menjejaskan beberapa laluan perkapalan serta menyumbang kepada turun naik harga secara ketara dalam pasaran minyak makan,” katanya.

Keadaan itu juga, kata beliau, menyebabkan pengimport tidak hanya perlu mengambil kira soal harga, tetapi juga faktor seperti akses yang dipercayai dari segi perkhidmatan perkapalan serta keupayaan pembekal memenuhi keperluan secara konsisten.

“Dalam situasi ini, Malaysia kekal pada kedudukan yang baik sebagai pembekal minyak sawit yang boleh dipercayai, disokong oleh asas pengeluaran yang kukuh dan rantaian bekalan yang matang,” kata beliau.

-- BERNAMA