BAIC Perkukuh Operasi Malaysia, Sasar Arcfox T1 Dilancar Akhir 2026
Daripada Ahmad Irfan Che Mohd Ruzaidi
BEIJING, 30 Sept (Bernama) -- Beijing Automotive Group Co Ltd (BAIC Group) mempergiat persiapan untuk mengembangkan operasinya di Malaysia, dengan model Arcfox T1 disasarkan dilancarkan menjelang akhir 2026, diikuti model BJ30 pada suku pertama 2027.
Kedua-dua model itu dirancang untuk dipasang secara tempatan menerusi kaedah pemasangan lengkap terurai (CKD) ketika pengeluar automotif China itu memperbaharui strateginya bagi pasaran Malaysia.
Timbalan Pengurus Besar BAIC International Qi XiaoHui berkata pengembangan syarikat itu sebelum ini tidak berjalan seperti yang dijangkakan berikutan beberapa faktor, termasuk keperluan Malaysia menggunakan kenderaan pandu sebelah kanan serta keperluan untuk mewujudkan pengeluaran tempatan.
“Malaysia merupakan pasaran kenderaan pandu sebelah kanan, justeru pengeluaran tempatan juga diperlukan. Sebelum ini, kami mempunyai rakan kongsi tempatan, namun atas beberapa faktor praktikal, perniagaan kami tidak berkembang seperti yang dirancang.
“Tahun ini, kami memperbaharui strategi bagi pasaran Malaysia dan kini dalam proses mendaftarkan anak syarikat sendiri. Selepas proses itu selesai, kami akan meningkatkan pelaburan serta memperluas penglibatan dalam pasaran tempatan,” katanya kepada Bernama ketika lawatan ke BAIC Group di sini.
Qi berkata penubuhan anak syarikat BAIC sendiri di Malaysia dan persiapan bagi pengeluaran tempatan kini dilaksanakan serentak sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan baharu kumpulan itu.
Beliau berkata barisan pengeluaran hampir siap, manakala persiapan bagi operasi akhir sedang dijalankan selepas peralatan dihantar ke kilang berkenaan yang dilawatinya sendiri kira-kira dua bulan lalu.
“Barisan pengeluaran hampir siap dan kini kami membuat pelbagai persiapan bagi operasi akhir, termasuk persediaan pengeluaran serta pendaftaran anak syarikat.
“Selepas kedua-duanya selesai, kami akan meneruskan operasi dan terus melaksanakan perancangan mengikut jadual,” katanya.
Qi turut menjelaskan bahawa jenama Arcfox akan ditambah ke dalam portfolio BAIC di Malaysia dan bukannya menggantikan produk berjenama BAIC yang diumumkan sebelum ini, dengan kedua-dua jenama akan dibangunkan dalam pasaran Malaysia.
Sebagai sebahagian daripada program China International Press Communication Centre (CIPCC), Bernama mengadakan lawatan ke Pangkalan Penyelidikan dan Pembangunan Industri Automotif Beijing di Daerah Shunyi, kilang kenderaan lasak BAIC serta Ibu Pejabat BAIC Foton bagi mendapatkan gambaran mengenai operasi penyelidikan, pembuatan dan kenderaan komersial kumpulan itu.
Profil kumpulan BAIC 2026 menunjukkan operasinya merangkumi penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembuatan kenderaan dan komponen, selain perkhidmatan mobiliti, dengan portfolio kenderaan meliputi segmen penumpang dan komersial.
Kumpulan itu turut memperkukuh tumpuan terhadap teknologi kenderaan tenaga baharu dan kenderaan pintar, dengan perbelanjaan R&D melebihi 10 peratus daripada hasil, selain merancang pelaburan R&D sebanyak 14.91 bilion yuan pada 2026.
BAIC turut membangunkan sistem operasi antarabangsa yang merangkumi R&D, pengeluaran, bekalan, jualan dan perkhidmatan dalam usaha memperluas kehadiran automotifnya di peringkat global.
-- BERNAMA