Ringgit Ditutup Tinggi Sedikit Berbanding Dolar AS Susulan Jangkaan Kadar Faedah Fed
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar AS pada Rabu, disokong oleh jangkaan bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) menangguhkan kenaikan kadar faedah bulan depan berikutan data sentimen pengguna yang lebih rendah daripada jangkaan.
Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.0785/0820 berbanding dolar AS daripada 4.0790/0850 semasa ditutup pada Selasa.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit serta mata wang Asia lain menerima sedikit momentum hari ini apabila data terkini AS menunjukkan bahawa Fed dijangka tidak menaikkan kadar faedah pada mesyuarat bulan depan.
Menurutnya sentimen pengguna yang lebih lemah boleh menjejaskan perbelanjaan isi rumah, yang menyumbang kira-kira dua pertiga daripada ekonomi AS.
Mohd Afzanizam berkata penggiat pasaran akan memantau dengan teliti laporan Guna Tenaga ADP dan perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) yang akan dikeluarkan lewat malam ini.
“Berdasarkan anggaran konsensus, guna tenaga ADP, yang mengukur pewujudan pekerjaan dalam sektor swasta, dijangka meningkat kepada 73,000 pada September daripada 38,000 pada bulan sebelumnya manakala inflasi PCE dijangka kekal pada 3.7 peratus pada Ogos.
“Sekiranya angka pekerjaan yang lemah dan kadar inflasi lebih rendah berterusan, dolar AS dijangka mengalami pembetulan selanjutnya dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.
Pada akhir dagangan, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit menyusut berbanding euro kepada 4.6324/6363 daripada 4.6235/6303 semasa ditutup pada Selasa, rendah berbanding pound Britain kepada 5.4162/4209 daripada 5.3937/4016 dan menurun berbanding yen Jepun kepada 2.5969/5993 daripada 2.5869/5909.
Berbanding mata wang ASEAN, unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1943/1973 daripada 3.1885/1934 semasa ditutup semalam, berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.1521/1666 daripada 12.1402/1632 dan menurun berbanding rupiah Indonesia kepada 227.9/228.2 daripada 226.8/227.2.
Ringgit menokok berbanding peso Filipina kepada 6.51/6.52 daripada 6.52/6.53 semalam.
-- BERNAMA