IHH Healthcare Sasar Tambah Bilangan Katil Hospital Di India Kepada 10,000 Menjelang 2031
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Penyedia penjagaan kesihatan swasta IHH Healthcare Bhd (IHH) merancang untuk menggandakan bilangan katil hospital dalam operasinya di India kepada kira-kira 10,000 menjelang 2031 berbanding sekitar 6,100 ketika ini, yang dianggarkan melibatkan pelaburan kira-kira US$250,000 (US$1=RM4.08) bagi setiap katil.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Fortis Healthcare iaitu cabang IHH Healthcare India, Dr Ashutosh Raghuvanshi berkata penambahan kapasiti sedia ada itu akan dibiayai terutamanya menerusi akruan dalaman, manakala hutang akan digunakan bagi pengambilalihan dan ekuiti akan dikumpul sekiranya diperlukan.
Beliau berkata Fortis Healthcare juga mendapat sokongan padu daripada syarikat induknya, yang berhasrat untuk mengembangkan operasinya di India, memandangkan negara itu mempunyai potensi pertumbuhan yang ketara.
“Kami mendapat sokongan padu daripada IHH, yang telah menyatakan hasratnya untuk terus merebut peluang di India, dan memandangkan operasi syarikat ini semakin berkembang, usaha mengukuhkan lagi kedudukan adalah sesuatu yang masuk akal,” katanya pada taklimat media di Fortis Healthcare di New Delhi, India baru-baru ini.
Sehingga kini, IHH telah menjadi salah satu platform penjagaan kesihatan swasta bersepadu terbesar di India menerusi anak syarikatnya, Fortis Healthcare (Fortis) dan Gleneagles Healthcare India.
Ia merangkumi rangkaian 36 hospital dengan kira-kira 6,100 katil, memberi perkhidmatan kepada pesakit di 12 negeri, termasuk pasaran penjagaan kesihatan utama seperti Delhi, Mumbai, Bengaluru, Chennai, Punjab, Kolkata dan Hyderabad.
Ashutosh menambah, Fortis merancang untuk menambah kira-kira 400 katil tahun ini, dengan jangkaan perbelanjaan modal (Capex) kira-kira 700 crore rupee (kira-kira US$90 juta).
Beliau berkata Fortis memiliki lembaran imbangan yang baik, dengan nisbah hutang kepada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 1.08 kali ganda, sekali gus menyediakan ruang yang besar untuk menambah hutang bagi membiayai pengembangannya, manakala ekuiti boleh disuntik jika diperlukan bagi pengambilalihan yang lebih besar.
“Capex Fortis berada pada kira-kira US$75 juta (kira-kira RM300 juta) setahun, dan syarikat ini juga boleh melaksanakan ‘pengambilalihan merayap’ dengan membeli saham daripada pasaran sekunder,” katanya.
Jelas Ashutosh lagi, syarikat itu menjangkakan margin EBITDA meningkat sebanyak kira-kira 1.5 mata peratusan setahun, dengan margin itu dijangka mencecah sekitar 25 peratus dalam tempoh beberapa tahun akan datang daripada 21-22 peratus ketika ini.
Bagaimanapun, beliau berkata margin itu boleh stabil pada sekitar 25-26 peratus apabila hospital baharu yang belum matang memasuki portfolio, manakala pendapatan dijangka meningkat lebih 15 peratus setiap tahun.
Permintaan pesakit antarabangsa
Sementara itu, pusat onkologi di Fortis Healthcare di Gurugram, India, menerima kira-kira 30 peratus pesakit daripada pasaran antarabangsa, terutamanya dari Asia Barat, Afrika dan Asia Tengah.
Ashutosh berkata permintaan daripada pesakit antarabangsa telah terjejas berikutan konflik di Asia Barat, terutamanya dari Iraq dan negara-negara Afrika, kerana ramai pesakit dari Afrika transit menerusi Asia Barat.
Beliau berkata Bangladesh merupakan satu lagi pasaran sumber utama bagi pelancongan perubatan ke India, selain Fortis memberi tumpuan kepada pasaran Afrika, kerana pilihan rawatan penjagaan kesihatan yang terhad dan sensitiviti kos, sekali gus menawarkan peluang pertumbuhan yang ketara.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Korporat Kumpulan IHH Healthcare Ashok Pandit berkata Turkiye dan Eropah merupakan penyumbang terbesar kepada perolehan suku pertama kumpulan itu, diikuti Singapura, Malaysia serta India.
Jelasnya, sumbangan dari India akan mengambil masa untuk mencapai tahap pasaran utama lain kerana IHH memiliki sepenuhnya operasinya di Singapura dan Malaysia, serta memegang 90 peratus kepentingan dalam operasi di Turkiye.
IHH Healthcare memiliki 31.1 peratus saham dalam Fortis, selepas memperoleh kepentingan kawalan pada 2018.
Selain itu, Ashok berkata operasinya di Malaysia dijangka merekodkan pertumbuhan dua angka sekali lagi tahun ini, selepas mencatatkan pertumbuhan 10-12 peratus pada 2023, 2024 dan 2025, manakala Turkiye pula dijangka berkembang pada kadar yang lebih pantas berikutan permulaan tahun yang kukuh.
Beliau berkata IHH juga akan memberi lebih tumpuan kepada pusat penjagaan ambulatori, terutamanya di Malaysia, dalam usaha meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada pesakit dan mengurangkan kos dengan menambah baik rawatan penjagaan pesakit dalam, berbanding hanya bergantung kepada penambahan kapasiti katil hospital.
Di Malaysia, kumpulan itu mengendalikan rangkaian 18 hospital dengan kira-kira 3,600 katil, yang merawat ratusan ribu pesakit setiap tahun menerusi pelbagai jenama seperti Gleneagles, Pantai, Prince Court, Island Hospital, dan Timberland Medical Centre.
IHH Healthcare merupakan syarikat multinasional yang didagangkan secara awam dengan pemegang saham kawalan terbesar ialah Mitsui & Co dari Jepun, diikuti oleh dana kekayaan negara kerajaan Malaysia, Khazanah Nasional Bhd.
-- BERNAMA