BERITA TERKINI   MCMC kenal pasti lebih 10,000 akaun palsu sebar isu 3R setakat semalam -- Fahmi | UKK di setiap kementerian perlu perhalusi cara perjelas kesan sebenar dasar dan pencapaian kerajaan - Fahmi | Kerajaan sasar 50 peratus pengurangan kematian akibat nahas jalan raya menjelang 2030 - Ahmad Zahid | Perancangan penyuraian trafik diteliti elak kesesakan baharu operasi RTS Link Johor Bahru–Singapura - Ahmad Zahid | Inflasi Malaysia menurun kepada 1.8 peratus pada Julai 2026 daripada 1.9 peratus pada Jun 2026 - DOSM | 

PublicInvest Naikkan Unjuran KDNK 2026 Kepada 5.4 Peratus Susulan Prestasi Kukuh Suku Kedua

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Pertumbuhan ekonomi suku kedua Malaysia yang lebih kukuh daripada jangkaan mendorong Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) menaikkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026 kepada 5.4 peratus tahun ke tahun daripada 4.6 peratus.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, PublicInvest memaklumkan semakan itu susulan pengembangan sebanyak enam peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2026, yang meningkatkan pertumbuhan separuh pertama 2026 kepada 5.7 peratus tahun ke tahun.

Menurutnya, pengembangan suku ke suku yang diselaraskan secara bermusim sebanyak 2.5 peratus juga menunjukkan momentum pertumbuhan yang lebih kukuh memasuki separuh kedua 2026.

Ad Banner

“Kami kini menjangkakan pertumbuhan kekal agak kukuh pada sekitar 5.1 peratus tahun ke tahun pada separuh kedua 2026, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, pelaksanaan pelaburan yang berterusan dan aktiviti berkaitan teknologi yang mampan," menurutnya.

Ia memaklumkan permintaan domestik seharusnya kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan dengan perbelanjaan isi rumah terus mendapat manfaat daripada pertumbuhan pendapatan yang stabil, kadar pengangguran yang rendah dan dasar yang menyokong.

“Pelaburan swasta yang sederhana pada suku kedua 2026 juga tidak menunjukkan kelemahan ketara dalam kitaran pelaburan, kerana perbelanjaan berterusan terhadap struktur, jentera dan peralatan menunjukkan pelaksanaan projek yang sedang berjalan,” tambahnya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Mengenai permintaan luaran, PublicInvest memaklumkan permintaan terhadap semikonduktor kekal kukuh dengan perbelanjaan berkaitan kecerdasan buatan (AI) yang berterusan menyokong rantaian pengeluaran elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia.

Pada masa yang sama, gas asli cecair (LNG), produk petroleum bertapis, serta perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi sepatutnya memberikan sedikit sokongan apabila momentum permintaan luaran yang lebih luas kembali normal.

Bagaimanapun, PublicInvest menjangkakan sumbangan luaran akan berkurangan pada separuh kedua 2026 apabila penghantaran awal yang dibuat sebelum ini mereda dan pertumbuhan perdagangan global menjadi perlahan, dengan langkah perdagangan Amerika Syarikat (AS) serta gangguan berpanjangan di Asia Barat kekal sebagai risiko penurunan utama.

“Unjuran kami sebanyak 5.4 peratus lebih tinggi daripada unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) antara empat hingga lima peratus, kerana kami menjangkakan pertumbuhan pada separuh kedua 2026 akan perlahan secara lebih beransur-ansur berbanding jangkaan rasmi.

“Pembetulan yang lebih ketara dalam permintaan luaran, terutamanya jika disertai dengan perbelanjaan domestik yang lebih lemah atau peralihan kos yang lebih meluas, akan menimbulkan risiko penurunan utama dan sebaliknya, permintaan E&E yang lebih kukuh serta perlaksanaan pelaburan yang lebih pantas boleh mendorong pertumbuhan lebih tinggi,” jelasnya.

Dalam nota penyelidikan berasingan, Apex Securities Bhd mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK bagi setahun penuh 2026 kepada lima peratus, iaitu paras tertinggi dalam julat unjuran rasmi BNM selepas baru-baru ini  menaikkan unjuran itu daripada 4.7 peratus.

Bagaimanapun, firma sekuriti itu memaklumkan pertumbuhan 6.0 peratus yang lebih kukuh daripada jangkaan pada suku kedua 2026 telah mendorong keseimbangan risiko ke atas, dengan pertumbuhan setahun penuh berpotensi mencapai 5.1 hingga 5.5 peratus jika momentum yang kukuh dikekalkan di tengah-tengah eksport E&E dan pelaburan berkaitan AI yang terus kuat.

“Bagaimanapun, unjuran pertumbuhan KDNK 2026 kami sebanyak lima peratus tahun ke tahun menunjukkan pertumbuhan dijangka menyederhana kepada 4.4 peratus pada separuh kedua 2026, sebahagiannya disebabkan kesan asas yang tinggi berikutan pertumbuhan kukuh pada separuh kedua 2025

“Lebih penting lagi, kesan daripada ketegangan di Asia Barat mungkin menjadi lebih ketara pada separuh kedua 2026 apabila risiko beralih daripada gangguan bekalan kepada tekanan kos yang berterusan, yang boleh memberi kesan kepada pengeluaran dan pelaburan,” tambahnya.

-- BERNAMA