BERITA TERKINI   Pendapatan pelaburan KWSP bagi suku kedua 2026 meningkat 44 peratus kepada RM29.77 bilion daripada RM20.61 bilion tahun sebelumnya | Jumlah caruman KWSP meningkat 8.5 peratus kepada RM33.87 bilion pada Suku Kedua 2026, manakala caruman i-Saraan bertambah 15.7 peratus kepada RM1.33 bilion | Ahli aktif KWSP meningkat kepada 10.9 juta manakala majikan aktif melebihi 645,200 selepas 37,265 pendaftaran baharu pada Suku Kedua 2026 | Jumlah pendapatan pelaburan KWSP RM57.50 bilion pada separuh pertama 2026, meningkat 48 peratus daripada RM38.92 bilion dalam tempoh sama 2025 | Aset pelaburan KWSP berjumlah RM1.54 trilion, dengan 39 peratus dilaburkan di seluruh dunia, manakala pelaburan antarabangsa menyumbang RM19.29 bilion, atau 65 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan pada Suku Kedua 2026 | 

Jumlah Pendapatan Pelaburan KWSP Separuh Pertama 2026 Naik 48 Peratus Kepada RM57.50 Bilion 

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM57.50 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, meningkat 48 peratus berbanding RM38.92 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Menurut KWSP dalam kenyataan hari ini, jumlah ini merangkumi keuntungan dan kerugian belum direalisasikan berasaskan penilaian mark-to-market ke atas sekuriti, yang disebabkan oleh turun naik kadar pertukaran asing terutamanya.

Menurutnya selaras dengan tahun-tahun sebelumnya, keuntungan dan kerugian belum direalisasi ini tidak boleh diagihkan sebagai dividen.

Ad Banner

KWSP memaklumkan jumlah pendapatan pelaburan bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 sebanyak RM29.77 bilion, meningkat 44 peratus berbanding RM20.61 bilion pada suku yang sama tahun lepas.

Menurut EPF, pendapatan ekuiti meningkat 52 peratus daripada RM13.77 bilion pada suku kedua 2025 kepada RM20.94 bilion pada suku kedua 2026.

Pemulihan kukuh dalam pasaran ekuiti global sepanjang suku tersebut memberikan peluang kepada pengurus dana untuk merealisasikan keuntungan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Sentimen pelabur turut bertambah baik apabila kebimbangan terhadap harga tenaga semakin reda serta keyakinan yang kekal kukuh terhadap kitaran super kecerdasan buatan.

“Ekuiti menyumbang 70 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku tersebut,” menurutnya.

Instrumen pendapatan tetap menyumbang sebanyak RM6.91 bilion, merangkumi 23 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan pada suku kedua 2026.

Sekuriti Kerajaan Malaysia terus memberikan pulangan yang stabil dan berdaya tahan, berperanan sebagai komponen defensif utama dalam portfolio ketika berdepan ketidaktentuan pasaran.

“Hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.30 bilion pada suku kedua 2026 manakala instrumen pasaran wang mencatatkan keuntungan sebanyak RM0.62 bilion selaras dengan jangkaan pulangan bagi kelas aset masing-masing,” menurutnya.

Menurut KWSP, jumlah aset pelaburan pada suku kedua 2026 mencecah RM1.54 trilion, dengan 39 peratus daripadanya dilaburkan di peringkat global.

Pelaburan antarabangsa menjana pendapatan sebanyak RM19.29 bilion, merangkumi 65 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku tersebut.

KWSP memaklumkan jumlah pendapatan pelaburan bagi simpanan konvensional dan simpanan shariah masing-masing adalah RM24.16 bilion dan RM5.61 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn berkata KWSP memanfaatkan pasaran ekuiti global yang kukuh di samping mengekalkan pendekatan pelaburan jangka panjang yang berdisiplin.

“Sama seperti suku pertama, kami terus merealisasikan pendapatan lebih awal pada suku kedua memandangkan risiko pasaran dan geopolitik kekal tinggi.

“Walaupun pasaran ekuiti telah menyokong prestasi pada separuh pertama tahun ini, ahli wajar melihat prestasi ini dalam perspektif jangka panjang kerana peluang pasaran seperti ini mungkin tidak berulang pada separuh kedua tahun ini.

“Fokus kami kekal untuk menjana pulangan mampan yang disokong oleh portfolio berdaya tahan,” katanya.

-- BERNAMA