KWSP Daftar 441,846 Ahli Baharu, Keahlian Hampir 18.5 Juta
KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendaftarkan 441,846 ahli baharu dalam tempoh enam bulan berakhir 30 Jun, 2026 (1H 2026), menjadikan jumlah keahliannya hampir 18.5 juta.
Dalam kenyataan hari ini, KWSP memaklumkan jumlah ahli aktif, iaitu ahli yang membuat sekurang-kurangnya satu caruman dalam tempoh 12 bulan terakhir, meningkat kepada 10.9 juta, dengan nisbah ahli aktif kepada tidak aktif bertambah baik kepada 59:41.
“Majikan aktif meningkat kepada 645,207 setakat Jun 2026, susulan pendaftaran 37,265 majikan baharu pada suku tersebut,” menurutnya.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran negara berada pada 3.0 peratus pada Mei 2026.
Pasaran buruh negara bertambah baik secara sederhana sejajar dengan pertumbuhan ekonomi yang stabil, dengan pertumbuhan guna tenaga yang berterusan serta kadar pengangguran yang kekal rendah, meskipun ketidaktentuan perdagangan global dan rantaian bekalan masih berterusan.
Sementara itu, KWSP memaklumkan jumlah caruman meningkat 8.5 peratus kepada RM33.87 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2026, daripada RM31.21 bilion pada suku sama tahun lepas.
“Bagi enam bulan berakhir 30 Jun, caruman sukarela terus mencatat momentum positif, meningkat kepada RM14.15 bilion. Ini mencerminkan penyertaan berterusan ahli dalam simpanan sukarela, disokong platform digital KWSP yang menyediakan akses mudah dan lancar untuk membuat caruman sukarela,” menurutnya.
KWSP memaklumkan jumlah caruman menerusi i-Saraan meningkat 15.7 peratus kepada RM1.33 bilion, manakala bilangan ahli sektor formal Malaysia yang mencarum melebihi kadar berkanun menerusi i-Topup meningkat 13.9 peratus tahun ke tahun kepada hampir 204,450 bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.
-- BERNAMA