BERITA TERKINI   Pendapatan pelaburan KWSP bagi suku kedua 2026 meningkat 44 peratus kepada RM29.77 bilion daripada RM20.61 bilion tahun sebelumnya | Jumlah caruman KWSP meningkat 8.5 peratus kepada RM33.87 bilion pada Suku Kedua 2026, manakala caruman i-Saraan bertambah 15.7 peratus kepada RM1.33 bilion | Ahli aktif KWSP meningkat kepada 10.9 juta manakala majikan aktif melebihi 645,200 selepas 37,265 pendaftaran baharu pada Suku Kedua 2026 | Jumlah pendapatan pelaburan KWSP RM57.50 bilion pada separuh pertama 2026, meningkat 48 peratus daripada RM38.92 bilion dalam tempoh sama 2025 | Aset pelaburan KWSP berjumlah RM1.54 trilion, dengan 39 peratus dilaburkan di seluruh dunia, manakala pelaburan antarabangsa menyumbang RM19.29 bilion, atau 65 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan pada Suku Kedua 2026 | 

Untung Bersih 99 Speed Mart Meningkat 13.4 Peratus Kepada RM163.95 Juta

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lepas.

Hasil meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

Ad Banner

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurutnya dalam kenyataan.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun, 2026, 99 Holdings mencatatkan keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta pada tempoh sama tahun lepas, manakala hasil meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan, dengan hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 2026.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings Lee Thiam Wah berkata momentum pertumbuhan positif pada suku tersebut disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Pada masa sama, beliau berkata tumpuan berterusan 99 Holdings terhadap kecekapan operasi mula memberikan manfaat ketara, dengan inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan yang membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Lee berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah, susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Menurutnya, rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.

-- BERNAMA