Wong Yin Kee Dilantik Pengarah Urusan Kumpulan Wasco Greenergy
KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Wasco Greenergy Bhd, cabang tenaga boleh baharu Wasco Bhd, melantik Wong Yin Kee sebagai Pengarah Urusan Kumpulan berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan Wong itu bagi melancarkan proses peralihan kuasa, tanggungjawab dan akauntabiliti daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lee Yee Chong.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia sistem tenaga boleh baharu itu berkata Lee, 57, memilih untuk bersara awal daripada jawatan CEO berkuat kuasa 31 Dis, 2026.
Beliau menyertai kumpulan Wasco Bhd pada September 1995 dan memegang beberapa jawatan kepimpinan utama dalam kumpulan itu sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Lembaga pengarah merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Lee atas kepimpinan serta sumbangannya kepada kumpulan sepanjang tempoh beliau memegang jawatan sebagai CEO.
-- BERNAMA