DXN Jangka Labur Sekurang-kurangnya BRL100 Juta Bangun Kilang Perindustrian Di Brazil

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) – Anak syarikat milik penuh tidak langsung DXN Holdings Bhd, DXN Marketing (Brasil) LTDA (DXN Brasil), memeterai Perjanjian Komitmen Timbal Balik dengan Municipality of Ibia untuk cadangan pembangunan kilang perindustrian di Minas Gerais, Brazil.

Menerusi perjanjian itu, DXN dijangka melabur tidak kurang daripada BRL100 juta (BRL100=RM78) dalam projek yang dicadangkan itu bagi tempoh lima tahun dari tarikh pendaftaran surat ikatan sumbangan rasmi dengan Estate Registry Office of Ibia.

DXN menerusi makluman kepada Bursa Malaysia hari ini memaklumkan pihak perbandaran itu telah bersetuju untuk menderma, tertakluk kepada caj, sebidang tanah perbandaran seluas kira-kira 10 hektar dalam Zon Perniagaan dan Perindustrian 2 di Ibia, Minas Gerais, untuk projek yang dicadangkan.

Ad Banner

Kumpulan juga dikehendaki mewujudkan dan mengekalkan antara 200 dan 250 pekerjaan langsung dan tidak langsung, serta mengekalkan operasi berterusan kilang tersebut selama minimum tujuh tahun dari tarikh pengeluaran lesen operasi yang berkaitan.

DXN berkata tempoh pelaburan lima tahun dan tempoh operasi tujuh tahun itu adalah obligasi berasingan dan bebas yang akan berjalan serentak hingga selesai.

Syarikat itu berkata terma-terma tersebut berbeza daripada yang didedahkan sebelum ini di bawah memorandum persefahaman (MOU) yang tidak mengikat, susulan perbincangan dan rundingan lanjut antara pihak yang terlibat.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Di bawah MOU terdahulu, syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh kumpulan itu tertakluk kepada tempoh minimum lapan tahun, manakala pemilikan penuh tanah yang diperuntukkan akan diberikan selepas lima tahun operasi berterusan kilang perindustrian itu.

Susulan rundingan tersebut, tempoh operasi minimum telah disemak semula kepada tujuh tahun

DXN memaklumkan walaupun pemilikan tanah yang diperuntukkan akan terletak hak kepada DXN Brasil setelah pendaftaran surat ikatan, anak syarikat itu hanya akan memperoleh pemilikan penuh dan tanpa syarat selepas memenuhi semua obligasi di bawah perjanjian, termasuk keperluan operasi tujuh tahun.

-- BERNAMA