HLIB Jangka Inflasi Malaysia Kekal Terkawal Pada Separuh Kedua 2026
KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menjangkakan inflasi Malaysia kekal terkawal sepanjang separuh kedua 2026, dengan sokongan berterusan melalui subsidi BUDI95 dan BUDI Diesel untuk menampan tekanan inflasi daripada harga komoditi global yang tinggi.
Bagaimanapun, bank pelaburan itu memaklumkan turun naik harga tenaga kekal sebagai risiko kenaikan utama kepada inflasi di tengah-tengah kebuntuan Amerika Syarikat (AS)-Iran menyelesaikan konflik di Asia Barat.
“Berikutan tekanan inflasi yang sederhana, kami mengekalkan jangkaan kami bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Ia memaklumkan setakat Julai 2026, indeks harga pengguna (IHP) bagi tempoh tujuh bulan mencatatkan purata pertumbuhan 1.8 peratus tahun ke tahun, kekal di bawah unjuran setahun penuh pada 2.0 peratus tahun ke tahun.
Sementara itu, Menurut Public Investment Bank Bhd (PIVB) dalam nota penyelidikannya, ia mengekalkan unjuran IHP 2026 pada 2.1 peratus tahun ke tahun dan jangkaan OPR pada 2.75 peratus hingga akhir tahun 2026, walaupun trajektori inflasi semakin menunjukkan tekanan yang ketara pada akhir tahun.
Menurutnya, inflasi keseluruhan mencatat purata 1.8 peratus tahun ke tahun dari Januari hingga Julai. Oleh itu, inflasi perlu meningkat kepada purata kira-kira 2.5 peratus bagi tempoh Ogos hingga Disember untuk mencapai unjuran tahunan bank itu sebanyak 2.1 peratus. Jika kenaikan harga pengguna berlaku lebih lewat daripada jangkaan, sasaran berkenaan akan menjadi lebih sukar dicapai.
“Kesan asas juga dijangka kurang membantu sepanjang baki tahun ini, di samping tekanan kos luaran yang kembali meningkat.
“Brent diniagakan melebihi julat US$70 setong hingga US$85 setong bagi separuh kedua 2026 memandangkan rundingan AS-Iran masih tergendala dan penghantaran melalui Selat Hormuz terus terjejas teruk,” tambahnya.
BUDI95 terus mengekang kesan awal kenaikan harga bahan api kepada isi rumah dengan mengekalkan RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter, walaupun langkah itu menyebabkan beban fiskal yang tinggi dan tidak melindungi sepenuhnya kos hiliran.
Risiko utama inflasi berkaitan minyak kini terletak kepada pemindahan kos untuk pusingan kedua.
PIVB memaklumkan indeks harga pengeluar meningkat 9.2 peratus tahun ke tahun pada Jun, didorong terutamanya oleh sektor tenaga, disertai dengan peningkatan sebanyak 7.4 peratus dalam bahan, bekalan dan komponen perantaraan.
“Caj pelarasan bahan api automatik yang lebih tinggi, kos pengangkutan dan logistik yang lebih mahal, serta fenomena El Nino yang semakin kuat menambah lagi risiko kenaikan kos makanan, utiliti dan pengedaran menjelang suku keempat 2026,” tambahnya.
Buat masa ini, bank pelaburan itu memaklumkan tekanan harga masih belum meluas secara ketara, dengan kadar sebaran inflasi Bank Negara Malaysia (BNM) susut daripada 50.8 peratus pada April kepada 40.3 peratus pada Jun walaupun harga pengeluar di peringkat awal rantaian bekalan meningkat.
“Walaupun aktiviti domestik yang kukuh dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.0 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2026, kami menjangkakan BNM mengekalkan OPR pada 2.75 peratus, termasuk ketika mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada September, melainkan kesan pusingan kedua berterusan merentasi perkhidmatan teras, upah dan jangkaan inflasi,” tambahnya.
-- BERNAMA