Dagangan Barang Kemas Malaysia Cecah RM12.13 Bilion pada Separuh Pertama 2026
KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Jumlah dagangan barang kemas Malaysia meningkat 10 peratus kepada RM12.13 bilion pada separuh pertama 2026, meneruskan momentum kukuh industri itu yang dicapai pada tahun lepas.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Akselerasi Eksport) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) S. Jai Shankar berkata pertumbuhan berterusan itu mencerminkan kekuatan industri barang kemas negara serta peningkatan keyakinan global terhadap keupayaan perdagangan Malaysia.
“Jumlah dagangan barang kemas Malaysia melonjak 22.5 peratus kepada RM22.46 bilion pada 2025, paras tertinggi yang pernah dicatatkan, didorong pertumbuhan kukuh dalam eksport dan import,” katanya dalam ucapan pada pelancaran Malaysia Gold Festival 2026 pertama di sini hari ini.
Beliau berkata eksport barang kemas meningkat 9.3 peratus kepada RM10.1 bilion pada 2025, dengan barang perhiasan diri menyumbang 85.5 peratus daripada jumlah eksport, mencerminkan keyakinan kukuh pasaran antarabangsa terhadap hasil pertukangan dan kualiti barang kemas Malaysia.
Import pula melonjak 35.8 peratus kepada RM12.3 bilion, menunjukkan permintaan pengguna domestik yang rancak serta peranan Malaysia yang semakin penting dalam rangkaian bekalan runcit global, katanya.
Jai Shankar berkata Emiriah Arab Bersatu (UAE) merupakan pasaran eksport barang kemas terbesar Malaysia pada tahun lepas dengan nilai eksport RM3.4 bilion, merangkumi 33.9 peratus daripada jumlah eksport.
Ini diikuti Singapura sebanyak RM3.1 bilion atau 30.2 peratus, Thailand RM1.1 bilion (10.7 peratus), Australia RM0.7 bilion (6.8 peratus) dan Hong Kong RM0.6 bilion (6.2 peratus).
Beliau berkata prestasi itu membuktikan keupayaan pengilang Malaysia untuk terus bertahan, ketangkasan strategik pedagang serta peningkatan keyakinan antarabangsa terhadap keupayaan perdagangan negara.
Mengenai keteguhan industri, Jai Shankar berkata Malaysia mempunyai sektor barang kemas bertaraf dunia yang disokong ekosistem kukuh membabitkan penggiat seni pertukangan, pengilang dan rakan pembiayaan mikro.
“Industri yang berteraskan standard emas 916 itu bertumpu di Pulau Pinang dan Lembah Klang, yang secara bersama menyumbang lebih 80 peratus pengeluaran barang kemas emas Malaysia.
“Ia turut menggabungkan pertukangan tradisional dengan teknologi pembuatan moden, termasuk ukiran 3D, selain menerapkan warisan Melayu, simbolisme Cina, motif India serta reka bentuk minimalis moden,” katanya.
Beliau berkata Malaysia telah membina reputasi kukuh sebagai pengeksport barang kemas global dan kekal sebagai antara pemain utama dalam ASEAN, dengan industri itu terus mengadaptasi pembuatan pintar sambil mengekalkan kemahiran pertukangan tradisional.
MGF 2026 merupakan festival dan pameran emas berskala besar pertama negara yang dianjurkan Persatuan Emas Malaysia.
Ia dianjurkan bersama Persatuan Tukang Emas dan Barang Kemas India Malaysia, Persatuan Pajak Gadai Islam Malaysia serta Province Wellesley Gold and Silver Ornament Merchants Association, menghimpunkan pihak berkepentingan dalam ekosistem emas dan logam berharga di bawah satu platform bersepadu.
Berlangsung dari 18 hingga 20 Sept 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, festival itu turut menampilkan pameran, sesi jaringan perniagaan, forum industri, program pendidikan, persembahan kebudayaan serta aktiviti interaksi awam.
-- BERNAMA