BERITA TERKINI   Keuntungan bersih AMMB meningkat kepada RM520.22 juta pada S1 2027 daripada RM516.17 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan naik kepada RM1.32 bilion berbanding RM1.29 bilion | Malaysia, Filipina bincang percepat proses penghantaran pulang lebih 1,000 warga Filipina dari empat pusat tahanan di Sabah - Mohamad Hasan  | Platform media sosial setuju turunkan 93 peratus daripada 470,593 kandungan dipohon - Fahmi | Kerugian akibat penipuan dalam talian di Malaysia cecah RM958 juta bagi tempoh Januari hingga Jun - Fahmi | Kerjasama MCMC-Jabatan Imigresen tumpu pembinaan kapasiti, perkongsian risikan, siasatan dan operasi bersama - Saifuddin Nasution | 

MGA Sasar Hasil Jualan RM100 Juta Daripada Malaysia Gold Festival 2026

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) – Persatuan Emas Malaysia (MGA) menyasarkan hasil jualan sebanyak RM100 juta daripada Malaysia Gold Festival (MGF) 2026  yang dijadual berlangsung selama tiga hari dari 18 hingga 20 September depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Presidennya Datuk Seri Louis Ng berkata sasaran itu bakal disokong oleh gabungan jualan perniagaan-kepada-perniagaan (B2B) dan perniagaan-kepada-pengguna (B2C) semasa festival tersebut.

“Kami melakukan B2B dan B2C. Jualan B2B sangat besar, manakala jualan B2C mungkin secara kecil-kecilan. Jadi, kami mempunyai gabungan kedua-dua entiti perniagaan itu,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran MGF 2026, di sini, hari ini.

Ad Banner

Ng berkata MGF 2026 akan menjadi kali pertama acara itu dianjurkan secara besar-besaran dan MGA menyasarkan 70 pempamer tempatan dan antarabangsa merentasi rantaian nilai emas dan barang kemas akan mengambil bahagian dengan kira-kira 45 telah berdaftar setakat ini.

Katanya, festival itu merupakan kesinambungan daripada inisiatif yang bermula enam tahun lepas pada 2020 apabila MGA memperkenalkan 916 Malaysian Gold Cultural Day yang disambut pada setiap 16 Sept bagi mempromosikan barang kemas emas buatan tempatan dan sebagai tanda penghargaan terhadap kraftangan Malaysia.

“Festival ini bukan sekadar pameran, ia usaha untuk menggalakkan rakyat Malaysia menyokong emas tempatan dan menarik orang luar untuk menerokai apa yang ditawarkan Malaysia.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Visi kami adalah untuk menjadikan MGF sebagai acara emas dan barang kemas tahunan utama di Asia Tenggara, di samping meletakkan Malaysia sebagai hab perdagangan emas dan barang kemas strategik di rantau ini,” katanya, sambil menambah MGF 2026 dijangka menarik kira-kira 10,000 dan 15,000 pelawat tempatan dan antarabangsa.

Mengenai prospek industri, Ng berkata permintaan terhadap barang kemas kembali meningkat apabila harga emas susut daripada paras tertinggi sebelumnya, dengan pemulihan juga dapat dilihat di pasaran domestik.

“Sepanjang tiga hingga empat bulan lepas, kami melihat permintaan dan jualan barang kemas mula meningkat, malahan di pasaran tempatan kita,” katanya.

Beliau berkata MGA juga sedang dalam peringkat akhir pembangunan Piawaian Emas Malaysia (MGS), inisiatif pertama di bawah Prinsip Industri Emas Malaysia (MGIP), yang akan dilancarkan semasa festival tersebut.

MGIP, katanya, yang terdiri daripada lapan kod merangkumi pelbagai segmen industri emas negara, termasuk penapisan, pembuatan, perdagangan dan Ar-Rahnu, mencakupi ekosistem industri emas di Malaysia kecuali perlombongan.

Ng berkata tujuh kod telah disiapkan, manakala kod kelapan, yang berkaitan dengan Syariah, memerlukan lebih banyak masa kerana ia mewakili elemen baharu untuk industri emas global.

-- BERNAMA