Malaysia Perlu Tingkatkan Nilai Domestik Daripada Perubahan Perdagangan Global
KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Malaysia perlu meraih lebih banyak nilai domestik daripada perubahan perdagangan global dan perkembangan teknologi, dengan memperkukuh keupayaan tempatan, kerjasama dengan syarikat berdaya saing global serta keupayaan bergerak lebih maju dalam rantaian nilai.
Rakan kongsi pengurusan McKinsey Malaysia Vidhya Ganesan berkata Malaysia sudah melihat perkembangan positif daripada Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), namun perlu menilai keberkesanannya berdasarkan sejauh mana strategi itu membangunkan keupayaan tempatan, bukan sekadar jumlah pelaburan yang diumumkan.
Beliau berkata Malaysia telah menarik kira-kira RM100 bilion pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor semikonduktor sejak Mac 2024, manakala NSS menetapkan sasaran mewujudkan kira-kira 60,000 pekerjaan berkaitan kejuruteraan menjelang 2030.
“Kita telah mencapai kemajuan yang baik dengan kira-kira 18,000 daripadanya telah diberi peningkatan kemahiran," katanya pada sesi Meja Bulat Media McKinsey & Company di sini hari ini.
Beliau berkata Malaysia menguasai kira-kira 30 peratus bahagian pasaran global dalam segmen pemasangan dan ujian semikonduktor oleh pihak luar (OSAT), yang merangkumi pemasangan, pembungkusan dan pengujian dalam rantaian nilai semikonduktor.
Vidhya berkata keutamaan seterusnya adalah untuk membantu syarikat Malaysia bergerak lebih maju dalam rantaian nilai, termasuk dalam bidang pembungkusan termaju dan reka bentuk cip, di samping membangunkan harta intelek yang mempunyai nilai komersial.
“Adakah kita melihat lebih banyak syarikat Malaysia muncul sebagai peneraju serantau dan global sebagaimana yang Petronas kecapi beberapa dekad lalu, bagi mewujudkan syarikat peneraju sebenar dari Malaysia dalam bidang ini, selain melihat lebih banyak pekerjaan berkualiti dan kemajuan penyelidikan serta pembangunan dalam ekosistem universiti Malaysia?
“Jadi, perkara-perkara ini akan menjadi penanda aras sebenar jika kita berada di sini tiga tahun dari sekarang untuk membincangkan sama ada NSS benar-benar membuahkan hasil,” katanya.
Vidhya berkata Malaysia perlu memperkukuh ekosistem pembekal domestik dengan bukan sahaja melahirkan syarikat peneraju serantau dan global, tetapi juga memperluas asas syarikat serta pembekal tempatan.
Sementara itu, rakan kongsi McKinsey Global Institute (MGI) Jeongmin Seong berkata perubahan perdagangan global tidak hanya melibatkan ketegangan antara Amerika Syarikat-China, dengan kedua-dua negara itu menyumbang kira-kira 25 peratus perdagangan global.
“Ini bermakna 75 peratus lagi perdagangan berlaku antara negara-negara lain dan banyak perubahan turut berlaku dalam kalangan ekonomi tersebut,” katanya.
Beliau berkata perkembangan itu memberikan peluang kepada Malaysia, namun negara perlu membangunkan keupayaan sendiri untuk memanfaatkan perubahan landskap pelaburan global.
Malaysia katanya, perlu boleh mengambil iktibar daripada pengkhususan Jepun dalam rantaian nilai global, pelaburan besar-besaran Korea Selatan serta ekosistem syarikat, institut penyelidikan dan universiti Taiwan yang kukuh.
"Persoalannya, apakah pendekatan yang sesuai untuk Malaysia?," katanya sambil menambah bahawa Malaysia tidak perlu meniru negara-negara ini tetapi harus mengenal pasti pendekatan yang paling relevan dengan keperluannya sendiri.
Sementara itu, Pengarah MGI Chris Bradley berkata kemunculan kecerdasan buatan (AI) berpotensi menjana sumber baharu aktiviti ekonomi, dengan potensinya melangkaui automasi dan penggantian tugas.
Beliau berkata pertumbuhan ekonomi seharusnya kekal sebagai jangkaan utama selagi ekonomi mampu menggabungkan modal, tenaga dan idea baharu.
“Selagi modal dan tenaga dapat digembleng bersama, pertumbuhan ekonomi akan terus berlaku dan kita perlu bersedia menghadapi masa depan yang lebih menjurus ke arah pertumbuhan,” katanya.
McKinsey & Company ialah firma perundingan pengurusan global, manakala MGI merupakan sayap penyelidikan ekonomi dalaman firma berkenaan.
-- BERNAMA