BERITA TERKINI   Keuntungan bersih AMMB meningkat kepada RM520.22 juta pada S1 2027 daripada RM516.17 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan naik kepada RM1.32 bilion berbanding RM1.29 bilion | Malaysia, Filipina bincang percepat proses penghantaran pulang lebih 1,000 warga Filipina dari empat pusat tahanan di Sabah - Mohamad Hasan  | Platform media sosial setuju turunkan 93 peratus daripada 470,593 kandungan dipohon - Fahmi | Kerugian akibat penipuan dalam talian di Malaysia cecah RM958 juta bagi tempoh Januari hingga Jun - Fahmi | Kerjasama MCMC-Jabatan Imigresen tumpu pembinaan kapasiti, perkongsian risikan, siasatan dan operasi bersama - Saifuddin Nasution | 

Pembaharuan Kerajaan MADANI Perkukuh Tatakelola, Tingkat Siling Dan Lantai -- MOF

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Kerajaan MADANI berjaya mencapai kemajuan dalam pembaharuan tatakelola, daya saing negara dan usaha menaikkan taraf hidup rakyat sejak tiga setengah tahun lepas berpandukan tiga tonggak iaitu Tatakelola Baik dalam Pentadbiran Awam, Peningkatan Siling dan Lantai.

Kementerian Kewangan (MOF) menerusi Kenyataan Prabelanjawan 2027 yang dikeluarkan hari ini memaklumkan Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran negara dengan cabaran besar yang perlu dipikul dan diselesaikan dan mewarisi bebanan hutang yang terlalu tinggi.

“Pada waktu itu, di samping menempuh ketidaktentuan ekonomi dunia, Kerajaan terpaksa mewarisi bebanan hutang yang terlalu tinggi menjangkau RM1.2 trilion atau lebih 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023. 

Ad Banner

“Malaysia juga mengalami kemerosotan pentadbiran dengan amalan rasuah dan penyelewengan bagaikan sudah sistemik dan membarah dalam tadbir urus Kerajaan.  Lebih parah, tantangan ekonomi amat mengesankan rakyat dengan kadar inflasi makanan pada 2022 mencecah 5.8 peratus dan pengangguran pula di tahap 3.9 peratus,” maklum kementerian itu.  

Menurut MOF, hanya dalam tempoh tiga setengah tahun, pentadbiran Kerajaan MADANI berjaya merungkai permasalahan asas yang membelenggu negara selama ini melalui pelaksanaan reformasi dasar dengan segera dan berani. 

"Kerangka Ekonomi MADANI yang dilancarkan telah menjadi nadi segala dasar dan ikhtiar dengan segala pencapaian yang diraih dapat dilihat dengan jelas merentasi ketiga-tiga tonggak,” maklum kementerian itu. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

MOF memaklumkan di bawah tonggak Tatakelola Baik Pentadbiran Negara Kerajaan MADANI komited melaksanakan pembaharuan tatakelola pentadbiran negara sejak awal lagi. 

 “Ini meliputi tatakelola baik dalam disiplin fiskal, agenda pembanterasan rasuah, kemudahan menjalankan perniagaan, serta pengurusan projek pembangunan berkepentingan rakyat.

“Pembaharuan tatakelola itu telah berjaya dilaksanakan segera melalui penubuhan Pasukan STAR iaitu Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi yang dipimpin oleh Ketua Setiausaha Negara untuk melakukan pembaharuan dalam perkhidmatan awam dan agensi Kerajaan serta memacu penyelesaian pantas bagi isu berimpak tinggi melibatkan infrastruktur dan pendigitalan,” menurut kementerian itu.

Sementara itu, sebagai sebahagian daripada tonggak Menaikkan Siling, daya saing Malaysia melonjak 19 anak tangga dalam tempoh dua tahun sahaja, daripada kedudukan ke-34 (2024) ke tangga ke-23 (2025) dan seterusnya ke kedudukan ke-15 (2026) dalam Laporan Daya Saing Dunia IMD, pencapaian terbaik negara sejak 2015.

“Peningkatan ini adalah cerminan keberkesanan reformasi kecekapan Kerajaan dan perniagaan serta penambahbaikan prasarana yang dilaksana secara bersepadu,” menurut kenyataan itu.

MOF memaklumkan di bawah tonggak Menaikkan Lantai, bantuan tunai rakyat mencatatkan nilai tertinggi dalam sejarah.

“Peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi 2026 untuk rakyat mencecah RM15 bilion dengan kadar maksimum RM4,600; jauh mengatasi Bantuan Rakyat 1Malaysia (RM6 bilion; maksimum RM1,200) pada 2018 dan Bantuan Keluarga Malaysia (RM8 bilion; maksimum RM2,500) pada 2022.

"Lebih bermakna, manfaat ini bukan sahaja untuk golongan susah, di bawah ikhtiar SARA UNTUK SEMUA, 22 juta rakyat menerima SARA RM100, iaitu sekiranya sebuah keluarga dengan lima orang, layak menerima sebanyak RM500,” maklum MOF. 

-- BERNAMA