Belanjawan 2027 Dirangka Mengikut 10 Bidang Teras Ekonomi Madani, RMK13 -- MOF
KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Belanjawan 2027 dirangka berpandukan 10 bidang tumpuan yang berpaksikan tiga tonggak Ekonomi MADANI serta keutamaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Dalam Kenyataan PraBelanjawan 2027 yang dikeluarkan hari ini, kementerian memaklumkan rakyat merupakan keutamaan yang merentasi kesemua bidang tumpuan berkenaan dengan setiap dasar, ikhtiar dan peruntukan membawa manfaat nyata untuk rakyat dengan meringankan beban sara hidup, meningkatkan pendapatan, membuka peluang pekerjaan berkualiti dan menjamin kehidupan lebih bermaruah.
“Suara rakyat akan didengar, keresahan (mereka) disantuni dan harapan akan diterjemahkan kepada tindakan. Belanjawan 2027 bertekad untuk memastikan kemajuan ekonomi benar-benar dirasai dan kemakmuran negara dikongsi secara adil,” maklum kementerian itu.
MOF memaklumkan, aspek keadilan sosial dan pembangunan untuk semua akan menjaadu keutamaan dengan pembangunan terangkum menuntut setiap negeri, wilayah dan komuniti menikmati peluang ekonomi, perkhidmatan awam dan kemudahan asas yang berkualiti secara saksama.
“Belanjawan 2027 bertekad untuk mengurangkan lagi jurang pembangunan wilayah dengan tumpuan kepada Sabah, Sarawak, desa, pedalaman dan komuniti yang masih berdepan kekurangan infrastruktur asas.”
Kerajaan MADANI juga bermatlamat untuk terus melindungi kebajikan rakyat dengan penambahbaikan berterusan terhadap penyasaran subsidi dan bantuan sosial akan dilaksanakan menggunakan data diperolehi dan tahap kelayakan yang jelas.
“Penilaian menyeluruh bebanan isi rumah akan dijalankan merangkumi makanan, perumahan, pengangkutan, penjagaan kesihatan, pendidikan dan penjagaan kanak-kanak,” menurut MOF.
Selain itu, MOF menekankan, aspek kuasa beli golongan rentan terus dilindungi melalui program Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan program subsidi BUDI MADANI; menstabilkan harga barangan keperluan melalui penguatkuasaan, Jualan Rahmah MADANI dan pengurusan bekalan strategik.
Sejajar dengan perubahan demografi, MOF menyatakan Belanjawan 2027 akan menilai semula kecukupan dan kemampanan sistem perlindungan sosial negara, termasuk liputan di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan skim berkaitan.
“Keutamaan diberikan kepada usaha memperluas perlindungan kepada pekerja tidak formal, pekerja gig dan golongan rentan agar lebih ramai rakyat mendapat jaringan keselamatan sosial yang mencukupi sepanjang kitaran kehidupan.”
Pada masa sama, Belanjawan 2027 akan terus memperkukuh sistem pendidikan, kesihatan dan penyampaian perkhidmatan awam agar lebih cekap dan terangkum demi memastikan setiap rakyat mempunyai peluang yang saksama untuk meningkatkan taraf hidup.
“Reformasi pendidikan perlu menekankan penguasaan literasi dan numerasi, Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET), Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM), digital dan kecerdasan buatan (AI), penguasaan bahasa serta pembangunan sahsiah,” menurut MOF.
Usaha akan tertumpu untuk memperluas akses perkhidmatan kesihatan mampu berkualiti, mengurangkan kesesakan fasiliti awam, memperkukuh tenaga kerja kesihatan dan meningkatkan pencegahan penyakit.
Selain itu, kerajaan MADANI akan terus mengekalkan keseimbangan antara usaha disiplin fiskal dan keperluan menyokong pertumbuhan dan perbelanjaan awam.
“Keutamaan termasuk menambah baik pengurusan subsidi, meningkatkan kecekapan perbelanjaan tanpa menjejaskan kebajikan rakyat, meningkatkan pematuhan cukai, serta memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberi nilai faedah terbaik kepada rakyat.”
Kerajaan juga, menurut MOF menyasarkan untuk menggalakkan tadbir urus baik dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam termasuk pemerkasaan reformasi fiskal, perolehan, audit, pembanterasan rasuah dan kecekapan perkhidmatan awam, serta pengurangan beban peraturan dan tempoh kelulusan, terutamanya bagi pelaburan dan pengembangan perniagaan.
MOF memaklumkan kerajaan akan turut mengutamakan kebajikan pekerja dan gaji yang lebih baik dengan Belanjawan 2027 akan memperluas TVET yang diterajui industri, program perantis dan latihan semula yang diselaraskan dengan sektor strategik, di samping literasi AI, keupayaan digital dan pembelajaran sepanjang hayat untuk pekerja dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Belanjawan 2027 terus menumpukan kepada pembiayaan peringkat pertumbuhan bagi syarikat mula niaga dan pertengahan, PKS inovatif, serta kepelbagaian pasaran eksport,” maklum kementerian itu.
Selain itu, menurut MOF, kerajaan akan turut memberi penekanan terhadap pertumbuhan menerusi pelaburan dan pekerjaan bernilai tinggi dengan sektor strategik kekal menjadi tumpuan termasuk semikonduktor, AI, digital, peralihan tenaga, farmaseutikal, logistik dan aeroangkasa yang selaras dengan dasar-dasar Kerajaan MADANI.
Tidak ketinggalan, Belanjawan 2027 akan memperkukuh usaha peralihan kepada tenaga bersih; mempertingkatkan produktiviti agromakanan dan teknologi pertanian, serta mempercepat rancangan tebatan banjir, kesiapsiagaan bencana dan adaptasi terhadap perubahan iklim.
“Walaupun berdepan pelbagai cabaran dalaman dan luaran termasuk krisis tenaga global dan tekanan kos sara hidup, kerajaan optimis Belanjawan 2027 akan membawa Malaysia selangkah lebih dekat bagi merealisasikan visi Ekonomi MADANI sepenuhnya,” menurut MOF.
Belanjawan 2027 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 9 Oktober 2026.
Sebarang maklum balas dan cadangan mengenai Belanjawan 2027 boleh disalurkan melalui Portal Belanjawan di laman sesawang https://belanjawan.mof.gov.my yang akan mula dibuka pada 18 Ogos 2026.
-- BERNAMA