BERITA TERKINI   Semua perkhidmatan JPJ melalui saluran Kumpulan MYEG akan digantung mulai 5 Okt 2026 - KP JPJ | Aichi-Nagoya 2026: Skuad skuasy lelaki negara raih emas acara berpasukan tewaskan Pakistan 2-0 | Petronas Chemicals lantik Izwan Ismail sebagai pengarah urusan dan CEO berkuat kuasa 1 Jan 2027 | Aichi-Nagoya 2026: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang raih emas kelapan negara menerusi acara keirin lelaki | Piala ASEAN FIFA 2026: Harimau Malaya perlu kekalkan momentum menjelang pertemuan menentang Vietnam - PM Anwar | 

Penciptaan Kekayaan Dan Pemilikan Aset, Penting Untuk Kemakmuran Masa Depan Malaysia - CEO Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Kemakmuran masa depan Malaysia mesti dipacu oleh penciptaan kekayaan dan pemilikan aset, dengan pasaran modal memainkan peranan penting dalam mengukuhkan ketahanan kewangan antara generasi, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia Bhd Datuk Fad’l Mohamed.

Fad’l berkata ketahanan kewangan memerlukan lebih daripada sekadar pendidikan; ia juga memerlukan tindakan, akses, disiplin, peluang, dan ekosistem yang menyokong.

Beliau berkata peranan Bursa Malaysia sebagai sebahagian daripada ekosistem kewangan seharusnya melangkaui usaha melahirkan rakyat Malaysia yang celik kewangan kepada melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai ketahanan kewangan.

Ad Banner

“Bagi Bursa Malaysia, ini bukanlah sesuatu yang tidak penting kepada peranan kami sebagai bursa saham. Misi kami adalah untuk menghubungkan modal dengan peluang. Kami juga melihat peranan kami sebagai membantu menghubungkan rakyat Malaysia dengan keselamatan kewangan dan kemakmuran jangka panjang.

“Pasaran modal kukuh akhirnya bergantung kepada rakyat yang mempunyai keyakinan, pengetahuan dan kapasiti kewangan untuk menyertainya.

“Ini juga seiring dengan tonggak keterangkuman di bawah Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030, bertujuan memperkasakan rakyat Malaysia untuk membina kekayaan,” katanya pada Persidangan CGS International Securities Malaysia ESG and Sustainability.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Fad’l berkata sepanjang dekad yang lepas, kesedaran mengenai pengurusan perbelanjaan, simpanan, pelaburan dan perancangan kewangan telah meningkat dengan ketara, manakala pendigitalan perkhidmatan kewangan juga telah memperluaskan akses.

Dompet digital, perbankan digital, platform robo-penasihat dan saluran pelaburan dalam talian telah membawa produk kewangan lebih dekat kepada rakyat Malaysia, bagaimanapun trend ini mungkin belum diterjemahkan sepenuhnya kepada ketahanan kewangan yang lebih besar, katanya.

Menurut Fad’l, tinjauan Financial Capability and Inclusion Demand Side oleh Bank Negara Malaysia menunjukkan bahawa walaupun pengetahuan kewangan telah meningkat, tingkah laku dan sikap kewangan tidak berkembang pada kadar sama.

-- BERNAMA