Palm Beach Resort, ASB Jalin Kerjasama Perkukuh Sokongan Sektor Minyak Dan Gas Labuan
Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 18 Ogos (Bernama) -- Palm Beach Resort & Spa Labuan dan Asian Supply Base Sdn Bhd (ASB), sebuah syarikat milik kerajaan Sabah memeterai Memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama strategik dalam memperkukuh sokongan hospitaliti dan logistik untuk industri minyak dan gas (O&G) di Labuan.
MOU itu dimeterai wakil kedua-dua organisasi pada satu majlis di Palm Beach Resort & Spa di sini hari ini.
Kerjasama itu bertujuan memenuhi keperluan penginapan, logistik dan kebajikan kakitangan serta kru yang terlibat dalam operasi ASB dan industri O&G di Labuan, termasuk memudahkan pergerakan kru serta keperluan operasi.
Menerusi MOU itu, Palm Beach Resort & Spa akan menawarkan kadar penginapan korporat khas serta kemudahan terpilih kepada kakitangan dan kru ASB, termasuk aktiviti sukan air dan kemudahan rekreasi lain.
Kedua-dua pihak turut akan meneroka peluang mengadakan aktiviti promosi dan program penglibatan bersama.
Inisiatif itu juga memperkukuh hubungan antara sektor hospitaliti Labuan dengan industri O&G, selain meningkatkan kecekapan dan nilai kepada syarikat serta kakitangan yang terlibat.
-- BERNAMA