BERITA TERKINI   Keuntungan bersih AMMB meningkat kepada RM520.22 juta pada S1 2027 daripada RM516.17 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan naik kepada RM1.32 bilion berbanding RM1.29 bilion | Malaysia, Filipina bincang percepat proses penghantaran pulang lebih 1,000 warga Filipina dari empat pusat tahanan di Sabah - Mohamad Hasan  | 

Hutang Luar Indonesia Naik 4.4 Peratus Kepada US$453.4 Bilion

JAKARTA, 18 Ogos (Bernama) -- Hutang luar Indonesia meningkat 4.4 peratus tahun ke tahun kepada US$453.4 bilion (US$1=RM4.05) pada suku kedua 2026, didorong peningkatan hutang luar sektor awam ketika penguncupan hutang sektor swasta semakin sederhana.

Pengarah Eksekutif Jabatan Komunikasi Bank Indonesia (BI) Ramdan Denny Prakoso berkata peningkatan hutang luar sektor awam, yang merangkumi hutang kerajaan dan bank pusat, antara lain disumbangkan oleh hutang luar kerajaan yang mencecah US$216.3 bilion pada suku berkenaan.

Beliau berkata hutang kerajaan meningkat 2.9 peratus tahun ke tahun pada suku kedua, lebih sederhana berbanding pertumbuhan 3.8 peratus pada suku pertama, terutama didorong aliran masuk modal ke dalam sekuriti kerajaan (SBN) susulan keyakinan pelabur yang berterusan terhadap prospek ekonomi Indonesia.

Ad Banner

“Kerajaan kekal komited untuk mengekalkan kredibiliti dengan memenuhi obligasi pembayaran prinsipal dan faedah tepat pada masanya, selain mengurus hutang luar secara berhemat, terukur dan fleksibel bagi mencapai pembiayaan yang cekap dan optimum,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ramdan berkata sebagai satu daripada instrumen pembiayaan Anggaran Pendapatan dan Belanja Negara (APBN), hutang luar kerajaan terus disalurkan kepada sektor produktif, di samping memastikan pengurusan hutang luar yang mampan.

Beliau berkata hutang luar kerajaan antara lain disalurkan kepada sektor kesihatan manusia dan aktiviti sosial, pentadbiran awam, pertahanan dan keselamatan sosial wajib, pendidikan, pembinaan serta pengangkutan dan penyimpanan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Hampir keseluruhan hutang luar kerajaan mempunyai profil tempoh matang jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata peningkatan hutang luar bank pusat terutama didorong pegangan bukan pemastautin yang lebih tinggi dalam Sekuriti Rupiah Bank Indonesia (SRBI), selaras dengan operasi monetari berorientasikan pasaran serta usaha mengekalkan kestabilan kadar pertukaran rupiah ketika ketidaktentuan global meningkat.

Sebaliknya, hutang luar sektor swasta terus menguncup walaupun pada kadar yang lebih perlahan, susut 0.6 peratus tahun ke tahun kepada US$194.6 bilion pada suku kedua berbanding penguncupan 1.3 peratus pada suku pertama.

Beliau berkata penguncupan lebih kecil itu terutama disebabkan hutang luar syarikat kewangan yang menurun 3.4 peratus tahun ke tahun berbanding penguncupan 6.3 peratus pada suku sebelumnya.

Mengikut sektor ekonomi, sektor pembuatan, perkhidmatan kewangan dan insurans, bekalan elektrik dan gas serta perlombongan dan pengkuarian secara kolektif merangkumi 79.4 peratus daripada hutang luar sektor swasta, manakala hutang berjangka panjang menyumbang 75.7 peratus.

Secara keseluruhan, Ramdan berkata struktur hutang luar Indonesia kekal kukuh, dengan nisbah hutang luar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 30.6 peratus pada suku kedua, manakala hutang jangka panjang merangkumi 82.1 peratus daripada jumlah hutang luar.

Beliau berkata BI dan kerajaan akan terus memperkukuh penyelarasan bagi memantau perkembangan hutang luar, di samping mengoptimumkan peranannya dalam menyokong pembiayaan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara yang mampan serta meminimumkan risiko terhadap kestabilan ekonomi.

-- BERNAMA