BERITA TERKINI   GP Gulf Air Bahrain: Max Verstappen dari Red Bull Racing raih petak utama dengan catatan 1 minit 35.130 saat | Projek Wi-Fi IPTA: 1,925 titik akses beroperasi di USM setakat 30 Sept - Teo | Projek Wi-Fi IPTA capai 76 peratus, 408 lokasi siap dilaksana - Teo | PM Anwar beri bayangan umum peruntukan khusus untuk belia dalam Belanjawan 2027 | Jangan pertahan pemimpin rasuah atas sentimen kaum, parti - PM Anwar | 

Anak Syarikat MSC Diarah Henti Sementara Operasi Perlombongan Timah

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Anak syarikat milik 80 peratus Malaysia Smelting Corporation Bhd’s (MSC), Rahman Hydraulic Tin Sdn Bhd (RHT) telah diarahkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Perak (JMG Perak) untuk menghentikan sementara operasi perlombongannya.

MSG melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata arahan itu, berkuat kuasa 12 Ogos 2026, dibuat susulan pemeriksaan tapak yang dijalankan oleh JMG Perak ke atas lombong bijih timah RHT di Klian Intan, selepas kejadian hujan lebat pada 3 Ogos 2026, yang mana kira-kira 60 milimeter taburan hujan direkodkan dalam tempoh satu jam.

“Hujan yang agak lebat ini adalah melangkaui keupayaan reka bentuk maksimum 50mm infrastruktur saliran dan kolam tadahan sedia ada RHT, mengakibatkan kerosakan kepada kemudahan saliran tertentu selain menyebabkan kolam tadahan melimpah,” katanya.

Ad Banner

Kumpulan perlombongan dan peleburan bijih timah bersepadu global itu juga berkata dalam keadaan operasi biasa, RHT mengendalikan sistem pengurusan air gelung tertutup tanpa pelepasan rutin air proses daripada operasi perlombongannya ke sungai berhampiran.

“Air proses dikekalkan dan dikitar semula di dalam takungan lombong, manakala kualiti air diuruskan melalui dos kapur bagi meneutralkan keasidan serta persampelan tetap dijalankan di tempat pemantauan dalam kawasan lombong,” kata MSC. 

RHT telah memulakan kerja-kerja pembaikan dan naik taraf yang diperlukan termasuk sedang bekerjasama dengan JMG Perak dalam pelan tindakan pemulihan yang komprehensif.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Penggantungan sementara itu akan terus berkuat kuasa sehingga diberitahu kelak daripada JMG Perak. Memandangkan tempoh penggantungan ini tertakluk kepada pelepasan oleh JMG Perak, kesan kewangan kepada kumpulan tidak dapat ditentukan buat masa sekarang," kata syarikat itu.

MSC berkata operasi peleburan bijih timah kumpulan itu, yang membentuk segmen perniagaan teras berasingan, tidak terjejas oleh arahan tersebut dan terus beroperasi seperti biasa.

 

-- BERNAMA