BERITA TERKINI   Anggota tentera di Semenanjung, Sabah dan Sarawak diseimbangkan susulan perkembangan di Pulau Balabac, Filipina - Mohamed Khaled  | Anggota tentera Malaysia di Lubnan dijangka pulang mulai Januari depan - Mohamed Khaled | Misi Pengaman Lubnan: Malaysia tunggu permintaan PBB selepas UNIFIL tamat akhir tahun ini  - Mohamed Khaled | Isu WhatsApp : MCMC gesa Meta perkemas proses rayuan, pemulihan akaun | Meta sahkan tiada perubahan dasar penguatkuasaan atau Terma Perkhidmatan WhatsApp - MCMC | 

Niaga Hadapan MSM Dijangka Susut Minggu Depan Susulan Jangkaan Peningkatan Stok

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives diunjurkan susut minggu depan berikutan jangkaan peningkatan inventori minyak sawit domestik serta harga minyak mentah yang lebih rendah, kata peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh.

Beliau berkata sesetengah penganalisis mengunjurkan stok minyak sawit Malaysia mungkin meningkat kepada sekitar tiga juta tan atau lebih pada September.

“Jika direalisasikan, jumlah ini boleh menjadi antara paras inventori tertinggi yang direkodkan di negara ini tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Teh berkata harga minyak mentah yang lebih rendah boleh memberi tekanan kepada niaga hadapan MSM dengan minyak mentah Brent turun di bawah US$100 setong pada Jumaat.

Ad Banner

Beliau memberitahu niaga hadapan MSM dijangka diniagakan antara RM4,300 hingga RM4,400 setiap tan minggu depan sambil menambah paras harga semasa boleh mendorong aktiviti pengambilan untung.

“Dari segi permintaan fizikal, minat belian dijangka terus datang dari India, Pakistan, China, Asia Barat, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat,” katanya.

Sementara itu, peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng memaklumkan peserta pasaran akan meneliti data bekalan dan permintaan terkini daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang dijadualkan dikeluarkan pada 12 Oktober, bagi mendapatkan petunjuk seterusnya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Peniaga juga akan memantau pergerakan harga minyak kacang soya dan minyak mentah selain sebarang tanda peningkatan permintaan eksport minyak sawit.

“Harga dijangka bergerak dalam julat antara paras sokongan RM4,400 dan paras rintangan RM4,600,” katanya.

Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, kontrak Oktober 2026 susut RM121 kepada RM4,354 setiap tan, kontrak November 2026 turun RM137 kepada RM4,441 setiap tan manakala kontrak Disember 2026 merosot RM137 kepada RM4,535 setiap tan.

Kontrak Januari 2027 berkurang RM141 kepada RM4,627 setiap tan, kontrak Februari 2027 menyusut RM152 kepada RM4,709 setiap tan manakala kontrak Mac 2027 turun RM155 kepada RM4,786 setiap tan.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 609,973 lot daripada 665,059 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka menurun kepada 334,658 kontrak daripada 342,948 kontrak sebelumnya.

Harga fizikal MSM bagi Oktober Selatan susut RM130 kepada RM4,400 setiap tan.

-- BERNAMA