Anugerah PropertyGuru Asia Malaysia Ke-13 Rai Hartanah, Pemimpin Industri Cemerlang
KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Anugerah Hartanah PropertyGuru Asia Malaysia ke-13 dengan kerjasama iProperty meraikan pencapaian sektor hartanah negara serta mengiktiraf tokoh terkemuka industri pada malam ini dengan pemaju dan projek hartanah menerima pengiktirafan dalam 62 kategori anugerah.
Dianjurkan oleh Lim Soh & Goonting Advocates & Solicitors, anugerah berkenaan bagi edisi tahun ini membawa tema “Defined by Excellence”.
Pengarah Urusan Anugerah Hartanah PropertyGuru Asia Jules Kay berkata anugerah berkenaan bertujuan memberi maklumat, menghubungkan dan mengetengahkan pembangunan terbaik di seluruh Asia.
"Anugerah-anugerah ini bukan sahaja melambangkan kualiti, malah turut menjadi penanda aras dan piawaian yang meningkatkan tahap kecemerlangan serta inovasi di rantau ini.
"Ini bermakna pembeli, pelabur dan penyewa kekal yakin dengan kualiti produk yang dipasarkan di setiap pasaran berkenaan," katanya dalam ucapan pembukaan pada majlis penganugerahan itu di sini hari ini.
Anugerah tersebut merangkumi pelbagai jenis hartanah di pelbagai rantau dan dalam negara selain kategori khas termasuk Anugerah Permintaan Pengguna, Anugerah Pilihan Ramai dan Anugerah Konsistensi.
Antara penerima individu, Pengasas dan Pengerusi Sunway Group Tan Sri Dr Jeffrey Cheah menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat manakala Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property Bhd Datuk Seri Azmir Merican dinobatkan sebagai Personaliti Hartanah Terbaik Tahun Ini.
Pengerusi Eksekutif Paragon Globe Bhd Datuk Seri Edwin Tan Pei Seng pula menerima Anugerah Bintang Semakin Menyinar manakala Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Hartanah (Selatan) Kuok Group Maggie Ng Mui Kit menerima Anugerah Pencetus Perubahan Wanita.
Menurut Kay, seramai 13 pakar industri bebas terlibat dalam proses penghakiman tersebut.
"Kredibiliti anugerah ini adalah berdasarkan sumbangan 13 pakar bebas yang menyumbangkan masa, kepakaran dan sokongan mereka bagi memastikan projek dan pemaju terbaik di Malaysia mendapat pengiktirafan pada setiap tahun," kata beliau.
Kay memaklumkan pemenang anugerah dari Malaysia bakal mewakili negara di peringkat akhir Anugerah Hartanah PropertyGuru Asia yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand pada Disember ini.
“Mereka akan bersaing sengit dengan pemaju dan hartanah dari Singapura, Thailand, Vietnam, Australia, Hong Kong serta negara-negara lain di rantau ini.
"Saya berharap, seperti yang berlaku pada tahun lepas, Malaysia akan menjadi antara pemenang antarabangsa terbesar pada Disember ini," tambah beliau.
-- BERNAMA