Dagangan Indeks Utama Bursa Malaysia Dijangka 1,620-1,650 Minggu Depan
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Indeks penunjuk utama Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam julat 1,620-1,650 minggu depan yang menyaksikan usaha pengumpulan saham-saham mewah yang berkualiti susulan penurunan itu, kata penganalisis.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata paras sokongan segera dijangka pada 1,620 manakala sebarang penembusan paras 1,650 berkemungkinan mendorong pergerakan ke arah 1,660 indeks berkenaan.
“Sebarang pergerakan mengukuh melangkaui paras 1,660 dapat menyerlahkan peluang dari segi teknikal dalam masa terdekat, menyuntik kestabilan harga minyak mentah serta penyertaan lebih ketara bagi indeks saham wajaran tinggi,” katanya kepada Bernama.
Bagi dagangan minggu ini yang berakhir semalam, aktiviti pengambilan untung dan tekanan jualan menguasai dagangan awal dan disusuli jualan besar-besaran yang mendorong aktiviti pembelian ketika pasaran memasuki keadaan terlebih jual.
Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 40.75 mata kepada 1,630.87 pada penutupan semalam daripada 1,671.62 seminggu sebelumnya.
Selain itu, prestasi papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas turun 286.07 mata kepada 12,170.57, Indeks FBM Top 100 susut 285.78 mata kepada 11,957.68, Indeks FBM Emas Syariah menguncup 245.91 mata kepada 12,060.32, Indeks FBM ACE merosot 3.40 mata kepada 5,529.46 manakala Indeks Indeks FBM Mid 70 berkurangan 362.98 mata kepada 17,481.93.
Dari segi sektor pula, Indeks Tenaga turun 28.80 mata kepada 833.03, Indeks Perladangan kehilangan 278.32 mata kepada 9,056.55, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menguncup 5.58 mata kepada 178.52 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 509.98 mata kepada 19,040.51.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 17.39 bilion unit bernilai RM14.42 bilion daripada 17.11 bilion unit bernilai RM14.07 bilion pada minggu sebelumnya.
Di Pasaran Utama, jumlah dagangan turun kepada 10.31 bilion unit bernilai RM12.69 bilion daripada 10.41 bilion unit bernilai RM12.31 bilion sebelum ini.
Dagangan waran meningkat kepada 4.40 bilion unit bernilai RM708.35 juta daripada 4.21 bilion unit bernilai RM661.61 juta pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 2.67 bilion unit bernilai RM1.00 bilion daripada 2.48 bilion unit bernilai RM1.09 bilion pada minggu sebelumnya.
-- BERNAMA