Ekonomi Digital Di Landasan Tepat Sumbang 30 Peratus Kepada Kdnk Menjelang 2030 - Gobind

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Ekonomi digital berada di landasan tepat untuk menyumbang sebanyak 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menjelang 2030, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata dasar-dasar yang telah dilancarkan, termasuk Pelan Tindakan AI (kecerdasan buatan) Kebangsaan 2026-2030 dan Malaysia Digital 2030 (MD2030) merupakan antara pemacu utama dalam memastikan sasaran yang ditetapkan dapat dicapai.

"Setakat 2025, sumbangan ekonomi digital kepada KDNK pada 25.5 peratus. Kita boleh dikatakan telah mencapai sasaran itu, tetapi angka itu biar saya dapat yang betul dan akan beri kepada media kemudian.

Ad Banner

"Kementerian Digital menerusi MyDigital Corporation ditugaskan untuk memastikan kesemua (dasar) yang dilancarkan itu memang mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan platform Boost SME di sini hari ini.

Gobind berkata kementerian itu komited dalam memastikan negara mencapai visi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Negara AI menjelang 2030.

Mengenai Belanjawan 2027, beliau berkata kementerian akan memberi tumpuan kepada usaha menggalakkan penggunaan AI bagi memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Katanya perbincangan belanjawan masih dalam proses yang turut melibatkan kementerian lain bersama-sama Kementerian Kewangan.

"(Dalam belanjawan kali ini), kita mahu memastikan bahawa kos (penggunaan AI) itu tidak terlalu tinggi supaya dapat digunakan secara meluas. 

"Apa yang penting juga adalah untuk memastikan PKS memahami teknologi itu, mempunyai akses kepadanya serta menggalakkan penggunaannya secara meluas pada skala yang lebih besar," kata Gobind.

Sementara itu peneraju teknologi kewangan serantau dan bank digital, Boost hari ini melancarkan Boost SME, platform perbankan perniagaan digital sepenuhnya yang menghimpunkan perkhidmatan perbankan digital, penyelesaian kewangan dan keupayaan pembayaran dalam satu ekosistem yang lancar.

Menurut Boost, platform itu bertujuan membantu PKS yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan supaya mampu mengamalkan pendigitalan dan membuka peluang baharu untuk pertumbuhan perniagaan.

-- BERNAMA