Perluas Pengecualian SST Untuk Kurangkan Kesan Cukai Bertindih - Presiden CTIM
Oleh Niam Seet Wei
KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menggabungkan elemen positif Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), seperti memperluaskan pengecualian ke dalam Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada bagi mengurangkan cukai bertindih, kata seorang pakar cukai.
Presiden Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM) Alan Chung bersetuju bahawa adalah kurang wajar untuk mempertimbangkan pengenalan semula GST memandangkan iklim ekonomi semasa dan kos sara hidup yang meningkat.
“GST bersifat luas, dan lebih banyak barangan dan perkhidmatan mungkin tertakluk kepada cukai, katanya kepada Bernama sebagai respons kepada kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan bersedia meneliti cadangan untuk menggabungkan elemen GST dengan SST bagi memastikan sistem cukai negara menjadi lebih progresif.
Menyokong pandangan Anwar, Chung berkata sifat GST bersifat menyeluruh bermakna golongan yang berdepan kesukaran ekonomi juga akan tertakluk kepada cukai, dengan cukai ke atas barangan dan perkhidmatan penting merangkumi peratusan lebih tinggi daripada pendapatan boleh guna bersih mereka.
Walaupun begitu, Chung berkata GST dalam sesetengah aspek adalah lebih baik daripada SST kerana ia lebih telus dan kurang terdedah kepada cukai bertindih, atau dikenali sebagai cukai ke atas cukai, manakala SST mempunyai skop pengecualian lebih terhad, mengakibatkan cukai bertindih dan kebimbangan mengenai cukai berganda.
“SST juga lebih rumit dan perbezaan dalam tafsiran boleh menimbulkan pertikaian,” katanya.
Chung berkata CTIM menyambut baik langkah kerajaan untuk menggabungkan elemen positif GST ke dalam SST.
“Kami menyambut baik langkah kerajaan untuk menggabungkan elemen positif GST ke dalam SST, dan kami amat menantikan cadangan yang akan diumumkan, katanya.
-- BERNAMA