BERITA TERKINI   Miskin Tegar Negeri Pahang berjaya dinoktahkan pada 19 Feb lepas - Wan Rosdy | Ambil tindakan tanpa kompromi jika ada kecuaian dalam kemalangan libatkan lori Jabatan Imigresen - PM Anwar | Kemalangan maut libatkan lori Imigresen : PM Anwar arah siasatan segera dijalankan | 

Untung Bersih KPJ Healthcare Suku Kedua 2026 Naik 27 Peratus Kepada RM103.92 Juta

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih KPJ Healthcare Bhd meningkat 27 peratus kepada RM103.92 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2026 berakhir 30 Jun, 2026, daripada RM82.06 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta itu memaklumkan hasil turut meningkat 17 peratus kepada RM1.20 bilion daripada RM1.02 bilion sebelumnya, didorong rekod aktiviti pesakit serta peralihan kepada rawatan yang lebih kompleks dan berintensiti tinggi.

Menurutnya, jumlah pembedahan meningkat 12 peratus, kemasukan pesakit dalam 10 peratus, manakala purata hasil bagi setiap pesakit meningkat tujuh peratus bagi pesakit dalam dan pesakit luar.

Ad Banner

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, keuntungan bersih meningkat kepada RM173.57 juta daripada RM139.12 juta pada tempoh sama tahun lepas, manakala hasil meningkat 13 peratus kepada RM2.25 bilion daripada RM1.99 bilion.

KPJ memaklumkan peningkatan hasil bagi tempoh berkenaan sebahagian besarnya disumbangkan oleh peningkatan jumlah lawatan pesakit dan pembedahan.

“Pesakit semakin memilih KPJ untuk mendapatkan rawatan yang lebih kompleks, disokong pasukan klinikal, kepimpinan hospital dan pengurusan di seluruh rangkaian.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Kadar penghunian 68 peratus menunjukkan rangkaian hospital kami mampu menjana hasil daripada pengembangan yang dilaksanakan,” kata Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan.

Kumpulan itu turut meneruskan pelaksanaan Pelan Strategik 2026-2030 menerusi enam teras pertumbuhan, dengan tumpuan kepada rawatan berintensiti tinggi dan khusus, kerjasama akademik, pengembangan rangkaian serta pusat rawatan ambulatori, selain penjagaan kesihatan berasaskan digital dan kecerdasan buatan (AI).

Sementara itu, hasil daripada pelancongan kesihatan antarabangsa meningkat 21 peratus tahun ke tahun kepada RM146 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun, 2026.

KPJ memaklumkan pertumbuhan itu disokong kadar penghunian hospital yang lebih tinggi, pembukaan pusat dan kemudahan baharu, kerjasama akademik strategik serta usaha transformasi yang lebih kukuh.

Lembaga pengarah turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak 1.1 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 2026 berjumlah RM48.7 juta, yang akan dibayar pada 9 Okt 2026 kepada pemegang saham yang berdaftar pada 18 Sept 2026.

Mengenai prospek, kumpulan itu memaklumkan ia akan terus melaksanakan program pengoptimuman aset dan meningkatkan kecekapan operasi, di samping meneruskan pengembangan kapasiti bagi memenuhi permintaan berterusan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti.

“Walaupun berdepan cabaran ekonomi global dan geopolitik yang berterusan, kumpulan kekal optimistik secara berhati-hati terhadap prospeknya bagi tahun kewangan 2026,” menurutnya.

-- BERNAMA