Niaga Hadapan MSM Terus Meningkat, Kontrak Penanda Aras November Lepasi Paras RM4,850

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi pada Selasa, meneruskan kenaikan susulan harga minyak kacang soya yang lebih kukuh di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) dan harga minyak mentah yang lebih kukuh, kata peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng. 

Beliau berkata kontrak penanda aras November 2026 meningkat bagi sesi yang lain, melepasi paras RM4,850 setan. 

Ad Banner

“Kebimbangan berterusan mengenai cuaca yang melampau dan potensi kesan fenomena El Niño dalam beberapa bulan akan datang terhadap pengeluaran MSM turut dilihat sebagai pemacu harga jangka pendek.

“Kami melihat paras sokongan harga pada RM4,800, dengan paras rintangan pada RM4,950,” katanya kepada Bernama. 

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata peningkatan jurang harga antara minyak sawit dan gasoil (minyak diesel), dengan dagangan minyak sawit pada diskaun yang besar, turut menyokong sentimen kenaikan harga.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Pasaran turut menjangkakan gangguan kepada bekalan minyak bunga matahari dari pelabuhan Laut Hitam boleh meningkatkan permintaan terhadap minyak sawit dari negara Asia, bagi mengisi jurang bekalan yang ditinggalkan oleh minyak bunga matahari,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup, kontrak September 2026 meningkat RM27 kepada RM4,616 setan, Oktober 2026 menambah RM37 kepada RM4,754 setan, dan November 2026 menokok RM39 kepada RM4,860 setan.

Kontrak Disember 2026 mengukuh sebanyak RM40 kepada RM4,943 setan, Januari 2027 meningkat RM37 kepada RM5,007 setan, dan Februari 2027 menambah sebanyak RM31 kepada RM5,048 setan.

Jumlah dagangan melonjak kepada 165,588 lot daripada 129,862 pada Selasa, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 333,655 kontrak berbanding 328,798 sebelumnya. 

Harga MSM fizikal bagi September Selatan meningkat sebanyak RM20 kepada RM4,610 setan.

-- BERNAMA