BERITA TERKINI   Ambil tindakan tanpa kompromi jika ada kecuaian dalam kemalangan libatkan lori Jabatan Imigresen - PM Anwar | Kemalangan maut libatkan lori Imigresen : PM Anwar arah siasatan segera dijalankan | 

Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS Susulan Jangkaan Kenaikan Kadar Faedah Fed Berkurangan

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid & Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS berikutan jangkaan bahawa kemungkinan untuk Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedah dalam mesyuaratnya pada September telah berkurangan, kata ahli ekonomi.

Pada 8 pagi, unit tempatan mengukuh kepada 4.0565/0625 berbanding dolar AS daripada 4.0575/0615 semasa ditutup pada Selasa.

Ad Banner

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tumpuan kini terarah kepada minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan dikeluarkan hari ini berikutan pasaran ingin mendapatkan petunjuk yang lebih jelas bahawa Fed tidak tergesa-gesa untuk mengetatkan dasar monetarinya.

“Pada masa sama, petunjuk positif bagi Malaysia seperti pertumbuhan yang teguh dan inflasi yang stabil menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia berdaya tahan, dengan Bank Negara Malaysia mempunyai ruang untuk mengekalkan kadar dasar.

“Oleh itu, kami menjangkakan ringgit bergerak pada jajaran RM4.05 hingga RM4.07 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pada awal dagangan, mata wang tempatan diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit mengukuh berbanding euro kepada 4.6958/7028 daripada 4.6982/7028 sebelumnya tetapi menurun berbanding yen Jepun kepada 2.5428/5467 daripada 2.5420/5446 dan menyusut berbanding pound Britain kepada 5.4909/4990 daripada 5.4902/4956 semasa ditutup pada Selasa.

Ringgit juga diniagakan lebih tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.1729/1778 daripada 3.1756/1790 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.2453/2697 daripada 12.2657/2819.

Unit tempatan hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 227.1/227.5 daripada 227.1/227.4 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.56/6.58 ketika ditutup semalam.

-- BERNAMA