BERITA TERKINI   Ambil tindakan tanpa kompromi jika ada kecuaian dalam kemalangan libatkan lori Jabatan Imigresen - PM Anwar | Kemalangan maut libatkan lori Imigresen : PM Anwar arah siasatan segera dijalankan | 

Tabung Haji: Amanah Pendeposit Perlu Lebih Diutamakan, Dividen Bukan Segalanya

Oleh Norsyafawati Ab Wahab

KUALA LUMPUR,  19 Ogos (Bernama) -- Umat Islam selaku pendeposit wajar kembali menghayati prinsip utama penubuhan Lembaga Tabung Haji (TH) yang bermatlamat membantu menguruskan simpanan bagi urusan ibadah haji dan bukan menjadikan pengumuman dividen sebagai ukuran utama prestasi institusi itu.

Justeru, keputusan barisan kepimpinan TH terdahulu yang tetap mengisytiharkan dividen walaupun kedudukan kewangan dan rizab institusi itu berada pada tahap membimbangkan, seperti yang didedahkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan pengoperasian TH, perlu dijadikan sebagai iktibar.

Ad Banner

Keadaan itu ibarat seseorang yang kelihatan sihat dari segi luaran, tetapi sebenarnya menghidap penyakit "kanser" tahap serius di dalam tubuh. 

Dalam konteks TH, pengumuman dividen saban tahun sebelum ini memberikan gambaran bahawa institusi itu sentiasa berada dalam keadaan baik, sedangkan laporan RCI mendedahkan wujud masalah yang meruncing dari segi kedudukan kewangan dan tadbir urus sejak 2014.

Laporan RCI itu mendedahkan bahawa kedudukan kesihatan kewangan TH kian merosot sejak 2014 sehingga menerima lima surat amaran daripada Bank Negara Malaysia (BNM) antara Ogos 2014 dan September 2016.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Amaran tersebut ditujukan kepada Pengerusi TH dan Menteri yang bertanggungjawab ekoran kebimbangan terhadap kedudukan kewangan institusi berkenaan serta risiko sistemik kepada kewangan negara sekiranya TH mengalami krisis kecairan.

Memandangkan TH menguruskan berbilion ringgit simpanan milik lebih sembilan juta pendeposit, selain merupakan antara pelabur institusi terbesar di Malaysia, keadaan itu adalah suatu yang membimbangkan.

RCI mendapati pengisytiharan agihan keuntungan sebelum 2018 tidak selaras dengan kehendak Akta Tabung Haji 1995 apabila aset TH tidak melebihi liabiliti, termasuk kumpulan dana simpanan pendeposit.

Dapatan itu menunjukkan bahawa prestasi sesebuah institusi tidak boleh dinilai melalui pengumuman dividen semata-mata apabila kedudukan kewangan sebenar dipengaruhi oleh penggunaan perakaunan kreatif, pelanggaran standard perakaunan Malaysian Financial Reporting Standards serta perubahan polisi rosot nilai yang tidak memberikan gambaran yang adil dan benar.

Kecurangan dalam laporan kewangan  turut disahkan oleh firma audit PricewaterhouseCoopers dalam laporan pada 2018.

Kegagalan menangani amaran tersebut dengan sewajarnya menyebabkan kedudukan kewangan TH terus merosot sehingga defisit aset-liabilitinya melebar kepada kira-kira RM10 bilion pada akhir 2018 yang memerlukan tindakan menyelamat daripada kerajaan untuk mengelak krisis kewangan yang lebih besar. 

Misi menyelamatkan institusi TH membabitkan intervensi kerajaan pada akhir 2018, melalui penubuhan Urusharta Jamaah Sdn Bhd, khusus untuk mengambil alih aset dan pelaburan bernilai kurang memuaskan milik TH bernilai RM19.9 bilion melalui pelan pemulihan kewangan bagi menutup defisit RM10 bilion pada ketika itu. 

Kini berbekalkan semangat dan amanah yang dipikul daripada pendeposit, kepimpinan baharu dan warga TH terus menggalas tanggungjawab dalam memperbetulkan kelemahan daripada pengurusan terdahulu, termasuk melaksana syor yang dikemukakan dalam laporan RCI. 

Laporan itu mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lepas, manakala bakinya sedang dalam tindakan termasuk pindaan Akta Tabung Haji.

Komitmen itu membuahkan hasil apabila status kesihatan kewangan TH kini semakin pulih apabila institusi itu mencatatkan prestasi terbaik dalam tempoh lapan tahun pada 2025, dengan dividen sebanyak 3.5 peratus.

Kini "kanser" tersebut berjaya dirawat dan sedang melalui rawatan susulan yang sewajarnya. 

Namun, sekali lagi ditekankan bahawa pemulihan tersebut tidak seharusnya menjadikan dividen sebagai ukuran tunggal kejayaan TH.

Sebaliknya perkara berkenaan perlu disusuli dengan usaha pengukuhan berterusan terhadap kedudukan kewangan, tadbir urus dan keupayaan institusi itu melaksanakan matlamat asal penubuhannya.

Langkah-langkah pemulihan menyeluruh yang sedang dan akan dilaksanakan oleh kepimpinan TH hari ini amat penting bagi mengembalikan keyakinan pendeposit terhadap keutuhan institusi ini. 

Simpanan umat Islam bagi menunaikan Rukun Islam kelima itu wajib diuruskan oleh pihak TH dengan penuh kejujuran, amanah, dan berintegriti tinggi.

--BERNAMA