BERITA TERKINI   Miskin Tegar Negeri Pahang berjaya dinoktahkan pada 19 Feb lepas - Wan Rosdy | Ambil tindakan tanpa kompromi jika ada kecuaian dalam kemalangan libatkan lori Jabatan Imigresen - PM Anwar | Kemalangan maut libatkan lori Imigresen : PM Anwar arah siasatan segera dijalankan | 

Peranan Kawal Selia SC Penting Untuk Bantu Dasar Pelaburan TH Seimbang

Oleh Nor Baizura Basri

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Peranan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam Lembaga Tabung Haji (TH) dilihat sangat penting dalam mengawal selia jenis pelaburan yang dibuat oleh institusi berkenaan.

Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan Islam di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata ini sesuai dengan dasar pelaburan TH yang mahu terus memgimbangi antara pulangan, melindungi modal serta memastikan kecairan yang mencukupi bagi memenuhi mandat Haji.

Ad Banner

Beliau berkata walaupun TH merupakan institusi pengantara yang bukan berasaskan sistem perbankan namun menjadi hasrat pendeposit untuk turut mendapatkan kadar dividen yang kompetitif daripada hasil simpanan mereka. 

Kerajaan pada sidang khas di Dewan Rakyat pada 11 Ogos lepas mengumumkan pengurusan dana dan pelaburan Lembaga TH akan dile­tak­kan di bawah kawal selia SC bagi memastikan tadbir urus dan pe­ngu­rusan pelaburan institusi itu lebih telus.

Ketika sesi penerangan tersebut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata cada­ngan itu adalah antara syor pasukan kerja yang ditubuhkan bagi meneliti dan melaksanakan dapatan RCI berhubung TH termasuk pindaan Akta Tabung Haji 1995.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata pasukan kerja itu juga mencadangkan pengurusan haji kekal di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan TH sebagai satu entiti yang utuh, selain te­lah meneliti kesesuaian ke­rangka pengawasan dan pemantauan oleh SC terhadap pengurusan dana dan pelaburan di TH.

Justeru, katanya, SC wajar terlibat secara terus dalam jawatankuasa pelaburan TH supaya keputusan pelaburan yang dibuat tidak melibatkan risiko yang tinggi tetapi telus dan masih mampu memberi pulangan yang signifikan kepada para pendeposit TH.

Mohd Faisol berkata, portfolio dan keputusan pelaburan TH mesti tertakluk kepada standard tadbir urus, pengurusan risiko dan pendedahan yang setanding dengan institusi pelaburan besar lain yang dikawal selia SC. 

"Standard yang perlu diperketatkan adalah standard solvensi, standard rizab dan pelaburan serta tadbir urus dan agihan untung. Ini sangat penting supaya isu yang sama tidak akan berulang lagi kerana impak (daripada krisis TH) sangat teruk dan melukakan hati para pendeposit," kata beliau kepada Bernama, baru-baru ini.

Beliau berkata kerajaan boleh mewujudkan mekanisme semak dan imbang supaya keputusan pelaburan dibuat berdasarkan merit komersial, risiko dan kepentingan pendeposit, serta terlindung daripada campur tangan atau pertimbangan bukan komersial dengan dasar pelaburan mengutamakan pendeposit yang ingin menunaikan haji dan mengelak meletakkan dasar pelaburan kerajaan dalam pelaburan TH. 

"Kerajaan juga boleh mewujudkan dua jawatankuasa khas iaitu jawatankuasa pelaburan dan jawatankuasa risiko sebagai semakan berganda sebelum sesuatu keputusan pelaburan dilakukan.

“Jadi melalui pendekatan sebegini pelaburan besar tidak hanya terdiri dari TH sahaja tetapi perlu melibatkan beberapa pihak lain termasuk jawatankuasa khas terdiri daripada SC, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan (MOF)," kata beliau 

Selain itu campurtangan BNM sebagai penasihat utama kepada TH perlu dibuat bagi memastikan keputusan pelaburan yang dibuat disemak secara tepat dan pengurusan risiko yang stategik dapat dilaksanakan.

Mohd Faisol berkata pembaharuan struktur kewangan yang perlu dilakukan untuk memastikan kedudukan aset dan liabliti kekal kukuh dalam jangka panjang adalah menambahkan lagi rizab simpanan TH dengan meningkatkan syarat simpanan minimum bagi menunaikan haji sesuai dengan kedudukan ringgit dan ekonomi global. 

Pada 29 Julai lepas, kerajaan mendedahkan kepada umum laporan RCI TH setebal 211 halaman yang mengandungi pelbagai penemuan termasuk kelemahan pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Laporan itu yang mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan, antara lain mencadangkan larangan ahli politik aktif menyertai Lembaga Pengarah TH, pemecahan kuasa antara Menteri Agama dan Menteri Kewangan dan penubuhan badan bebas untuk pelantikan Lembaga. 

Kerajaan mengumumkan penubuhan RCI pada 2021, diikuti pelantikan ahli-RCI pada 20 Jan 2022, dengan laporan RCI kemudiannya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 2022.

-- BERNAMA