EPMB Rasmi Kilang Komponen Casis Di Tanjong Malim Dengan Pelaburan RM9.5 Juta
IPOH, 19 Ogos (Bernama) -- Penyedia penyelesaian automotif EP Manufacturing Bhd (EPMB) merasmikan fasiliti komponen casis baharunya di Automotive High Technology Valley (AHTV), Tanjong Malim, melibatkan pelaburan bernilai RM9.5 juta.
Fasiliti itu yang beroperasi di bawah syarikat usaha samanya Peps Sanly JV Sdn Bhd (Peps Sanly JV) dengan pengeluar komponen automotif China Sanly Auto Parts Co Ltd (Sanly China) akan menghasilkan komponen kritikal untuk model terpilih Proton Holdings Bhd (Proton).
Menurut EPMB dalam kenyataan hari ini, fasiliti baharu itu sekali gus mengukuhkan kerjasama jangka panjang EPMB dengan Proton yang telah terjalin selama hampir empat dekad.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee merasmikan kilang itu semalam, yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif EPMB Hamidon Abdullah dan Naib Presiden merangkap Pengarah Sanly China dan Peps Sanly JV, Ji Xiantao.
Menurut Hamidon dalam kenyataan sama, pelancaran fasiliti baharu itu menandakan kesinambungan kerjasama strategik EPMB dengan Sanly China susulan pemeteraian rasmi usaha sama pada Februari tahun lepas.
“Matlamat kerjasama ini adalah untuk memastikan rantaian bekalan yang lebih kukuh dan cekap untuk EPMB, dengan memanfaatkan kepakaran Sanly China yang canggih dalam kerja logam, pemasangan dan sistem casis automotif,” katanya.
Beliau berkata langkah itu juga sejajar dengan inisiatif strategik Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam menggalakkan pemindahan teknologi serta memperkukuh keupayaan pembuatan tempatan.
“Apa yang lebih penting, menerusi usaha sama ini, EPMB dan Sanly kini merupakan satu-satunya syarikat usaha sama yang menumpukan kepada sistem casis automotif di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata melalui kerjasama dengan Sanly yang mempunyai hubungan kukuh dengan Geely dan pengeluar peralatan asal (OEM) lain dari China, EPMB mendapat pendedahan secara langsung kepada ekosistem pembuatan maju China serta struktur kos yang kompetitif.
Menurutnya langkah itu sekali gus meletakkan EPMB pada kedudukan yang lebih baik untuk menyokong Proton melalui kecekapan kos yang dipertingkat dan jaminan kualiti yang lebih kukuh.
“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Proton dalam merealisasikan sasaran pertumbuhan serantaunya serta pelan hala tuju kenderaan elektrik (EV), dan kami menantikan kejayaan berterusan bersama pada masa hadapan,” katanya.
Fasiliti baharu Peps Sanly JV terletak di kawasan tanah berkeluasan 9,909 meter persegi dan mula beroperasi pada Oktober 2025, dengan keupayaan menghasilkan 40,000 set kereta sebulan atau sehingga 480,000 set kereta setahun.
Fasiliti itu akan melaksanakan pengeluaran tempatan bagi pemasangan modul front corner atau penjuru hadapan, modul subframe atau subbingkai dan modul gandar belakang bagi model AMA01, Persona dan Iriz, serta model AMA02 dan AMA05 keluaran Proton yang akan datang.
Pada Februari 2025, EPMB mengumumkan pemeteraian rasmi usaha samanya dengan Sanly China menerusi Peps Sanly JV bagi melaksanakan pengeluaran tempatan pemasangan modul penjuru hadapan, modul subbingkai dan modul gandar belakang bagi Proton Saga AMA01.
-- BERNAMA