BERITA TERKINI   Penyelenggara penerbangan, GTA Holdings sasar raih RM71.75 juta menerusi IPO di Pasaran ACE | Miskin Tegar Negeri Pahang berjaya dinoktahkan pada 19 Feb lepas - Wan Rosdy | Ambil tindakan tanpa kompromi jika ada kecuaian dalam kemalangan libatkan lori Jabatan Imigresen - PM Anwar | Kemalangan maut libatkan lori Imigresen : PM Anwar arah siasatan segera dijalankan | 

MyCEB Raih Anugerah Destinasi Mesyuarat Terbaik Asia Di M&C Asia Stella Awards 2026

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Malaysia meraih Anugerah Destinasi Mesyuarat Terbaik Asia pada M&C Asia Stella Awards 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pilihan bagi mesyuarat antarabangsa dan acara perniagaan di Asia.

Pengiktirafan berprestij itu diterima Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia  (MyCEB) pada majlis anugerah itu baru-baru ini, yang menghimpunkan pemimpin industri, rakan kongsi dan profesional sektor hospitaliti dari seluruh rantau ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, MyCEB berkata anugerah berkenaan mengiktiraf kelebihan Malaysia dari segi jaringan hubungan antarabangsa, infrastruktur berkualiti, layanan hospitaliti serta keupayaan yang terbukti menerusi penganjuran acara perniagaan bertaraf tinggi.

Ad Banner

Pengiktirafan itu turut mencerminkan usaha berterusan MyCEB untuk memperkukuh profil dan daya saing negara dalam pasaran acara perniagaan antarabangsa, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Mei Phing berkata pencapaian itu mencerminkan usaha bersama MyCEB, rakan industri dan pihak berkepentingan dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama acara perniagaan.

“Ini sekali gus mengukuhkan keyakinan kami terhadap keupayaan, hospitaliti dan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi, serta mendorong kami untuk terus menyediakan pengalaman bermakna dan meninggalkan kenangan kepada perancang mesyuarat, delegasi serta rakan industri dari seluruh dunia,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

MyCEB berkata pihaknya akan terus memperkukuh sektor acara perniagaan negara menerusi pemasaran destinasi, kerjasama industri dan inisiatif bagi meningkatkan kualiti serta impak acara yang dianjurkan di Malaysia.

Menurut kenyataan itu, kedudukan Malaysia yang strategik di Asia, infrastruktur yang kukuh, jaringan hubungan antarabangsa serta kepelbagaian tawaran hospitaliti menyediakan asas kukuh bagi penganjuran mesyuarat, konvensyen, program insentif dan acara perniagaan antarabangsa.

MyCEB turut menyasarkan agar acara perniagaan di Malaysia bukan sahaja berjaya dari segi penganjuran, malah memberikan impak ekonomi dan sosial yang positif.

“Menerusi kerjasama kukuh, kreativiti, inovasi serta keunikan hospitaliti Malaysia, MyCEB akan terus berusaha menawarkan pengalaman berkualiti kepada penganjur dan peserta acara perniagaan dari seluruh dunia,” katanya.

M&C Asia Stella Awards 2026 menampilkan 28 anugerah dalam enam kategori yang mengiktiraf kecemerlangan destinasi mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran, pusat konvensyen, rakan kongsi destinasi, hotel dengan kemudahan mesyuarat, resort bersepadu serta usaha kelestarian di Asia.

-- BERNAMA